Mohon bubar DUN jika cukup kerusi: Onn Hafiz
JOHOR BAHRU - Pakatan Harapan (PH) perlu membuktikan mempunyai cukup jumlah kerusi sekali gus memohon perkenan Sultan Johor untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) supaya pilihan raya peringkat negeri dapat diadakan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layang-Layang, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, mandat harus diserahkan semula kepada rakyat untuk mereka membuat pilihan dalam menentukan masa depan dan hala tuju negeri ini.
"Kalau angka yang dicanang adalah dusta, saya gesa agar pihak pembangkang berhenti mengaburi dan mengelirukan rakyat dengan pembohongan. Rakyat sudah muak dan jelak dengan pemimpin yang hanya mementingkan diri.
"Mereka mahukan pemimpin yang ikhlas mewakili mereka dan gigih bekerja di kawasan masing-masing. Pemimpin yang fokusnya pada ketika ini adalah untuk memulihkan ekonomi dan memperbaiki keadaan semasa semata-mata demi negeri dan rakyat," katanya.
Beliau yang juga Exco Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor berkata demikian dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Onn mengulas kenyataan Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang memberi gambaran PH mungkin dapat merampas semula Putrajaya daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum persidangan parlimen akan datang yang dijangka bermula pada Julai.
Menurut Salahuddin yang juga ADUN Simpang Jeram dan Ahli Parlimen Pulai, gelombang perubahan kemungkinan akan bermula di Johor.
DUN Johor mempunyai 56 kerusi dengan 14 kerusi masing-masing dimiliki UMNO dan DAP, Bersatu (11), Amanah (sembilan), PKR, (lima), MIC (dua) dan Pas dengan satu kerusi.
Onn berkata, PH Johor sepatutnya lebih bertanggungjawab dan fokus kepada memikirkan kemaslahatan rakyat dan bukan diri sendiri dalam keadaan negara sedang berdepan pandemik koronavirus (Covid-19).
"Cukup-cukuplah bermain politik di waktu getir ini kerana apa yang dipertaruhkan adalah masa depan rakyat dan negara! Tak perlu cuba-cuba bergendang untuk (memulakan) perang saraf yang hanya mengkucar-kacirkan keadaan," ujarnya.
Beliau yang juga cicit kepada Pengasas dan Presiden UMNO, Datuk Onn Jaafar serta cucu kepada bekas Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn menggesa PH Johor supaya berhenti bermain politik dan memberi khidmat terbaik untuk rakyat.
"Sultan Johor telah mengingatkan pada sidang DUN baru-baru ini bahawa sekarang bukan masa untuk semua wakil rakyat negeri bertegang urat dan bertikam lidah bagi mencari pengaruh politik atau kepentingan peribadi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!