Salahuddin tidak hormati titah Sultan Johor: MBNJ
JOHOR BAHRU - Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ) menyifatkan kenyataan Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang menggambarkan Pakatan Harapan (PH) mungkin dapat merampas semula negeri ini sebagai tidak mengendahkan titah Sultan Johor, baru-baru ini.
Presiden MBNJ, Md Salleheen Mohamad berkata, kenyataan itu akan menimbulkan polemik dan keresahan dalam kalangan rakyat serta mengganggu sebarang usaha pemulihan yang sedang dijalankan kerajaan negeri ketika ini.
"Bagi MBNJ, sekarang bukanlah masa yang sesuai untuk ahli politik tidak kira daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang meniupkan sentimen sensitiviti yang keterlaluan sehingga boleh memecahbelahkan masyarakat.
"Di saat setiap penjuru negara diserang wabak virus yang tidak kelihatan, pemimpin politik sama ada Ahli Parlimen mahupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sewajarnya berganding bahu membantu rakyat yang terkesan dan susah ketika ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semasa merasmikan pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Yang Ke-14 pada 14 Mei lalu bertitah, sekarang bukan masanya untuk pemimpin bertegang urat dan bertikam lidah untuk mencari pengaruh politik atau kepentingan peribadi.
Kelmarin, Salahuddin memberi gambaran PH mungkin dapat merampas semula Putrajaya daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum persidangan Parlimen akan datang yang dijangka bermula pada Julai dan gelombang perubahan kemungkinan akan bermula di Johor.
DUN Johor mempunyai 56 kerusi dengan 14 kerusi masing-masing dimiliki UMNO dan DAP, Bersatu (11), Amanah (sembilan), PKR, (lima), MIC (dua) dan Pas dengan satu kerusi.
Mengulas lanjut, Md Salleheen berkata, Salahuddin yang juga ADUN Simpang Jeram dan Ahli Parlimen Pulai itu sebenarnya telah memberikan mesej yang salah kepada rakyat dan boleh mencetuskan kebimbangan serta keresahan rakyat.
Justeru, MBNJ katanya, mengajak seluruh rakyat di Johor terutama ahli politik agar menerima nasihat Sultan Johor dengan lebih ikhlas dan jujur.
MBNJ juga katanya, mahukan pemimpin politik tidak menimbulkan sebarang isu sensasi demi mencari pengaruh politik atau kepentingan peribadi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!