Gesa kerajaan pertimbang benarkan operasi gimnasium

Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin
Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan diminta untuk mempertimbangkan kebenaran bagi operasi premis perniagaan, pusat kesihatan serta gimnasium agar pekerja premis tersebut dapat kembali menerima bayaran gaji dan elaun peribadi pelatih.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, kini sudah hampir tiga bulan operasi gimnasium tidak dijalankan dan kebanyakan pekerja pusat kesihatan tersebut tidak mendapat elaun jurulatih peribadi dan hanya menerima gaji minimum yang tidak dapat menampung perbelanjaan bulanan sekeluarga.

Beliau yang juga Ikon Sukan Negara berkata, ramai rakan-rakannya yang bekerja di sektor itu terkesan sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan diteruskan dan pasti banyak gimnasium terpaksa ditutup.

"Saya juga pernah buka pusat gimnasium dan tahu bukan mudah mendapat keuntungan besar dalam industri ini kecuali gimnasium yang besar dan terkenal.

"Saya prihatin nasib pekerja dan juga pengusaha pusat kesihatan ini dan berharap Majlis Keselamatan Negara (MKN) dapat mempertimbangkan segera agar premis-premis itu dibenarkan beroperasi semula," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muhamad Muqharabbin berkata, beliau mencadangkan agar gimnasium yang dibenarkan dibuka dapat mengikuti prosedur dan langkah-langkah yang ditetapkan oleh MKN dengan membenarkan 20 ke 25 orang pada satu-satu masa mengikut kapasiti dan kebesaran kawasan, menjaga kebersihan gimnasium dan diri serta perkara-perkara yang ditetapkan.

Menurutnya, beliau juga sudah mengutarakan perkara itu kepada Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba untuk diteliti.

"Apa yang penting ia tidak menjejaskan usaha dan hasrat kerajaan membendung wabak koronavirus (Covid-19) ini.

Artikel Berkaitan:

"Saya berharap rintihan pengusaha dan pekerja sektor kesihatan ini dapat diambil perhatian segera," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!