Matrade teroka peluang industri kimia di Vietnam, Kemboja

Matrade
Matrade
A
A
A
KUALA LUMPUR - Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) sedang meneroka peluang eksport bagi kimia dan produk kimia di Vietnam dan Kemboja.

Agensi penggalakan perdagangan itu dalam satu kenyataan hari ini berkata ia menyasar untuk memanfaatkan lonjakan permintaan terhadap aktiviti pemprosesan, pembuatan perindustrian dan produk pengguna berasaskan kimia.

Justeru itu, Matrade menganjurkan satu misi pecutan eksport ke Ho Chi Minh dan Phnom Penh pada 26-30 November, yang disertai 15 syarikat Malaysia.

Misi lima hari itu antara lainnya termasuklah mesyuarat perniagaan yang telah diatur antara syarikat Malaysia dan pelanggan berpotensi serta lawatan ke persatuan berkaitan dan peruncit.

“Kami berharap menerusi misi ini, para peserta akan dapat memperoleh perniagaan dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pembekal pilihan Vietnam dan Kemboja bagi kimia dan produk kimia,” kata Timbalan Pengarah Bahagian Minyak dan Gas, Kimia dan Tenaganya Wan Azhamuddin Jusoh.

Menurutnya, terdapat peluang amat besar dalam industri kimia dan produk kimia di Vietnam kerana negara itu menerima pelaburan asing bernilai lebih AS$35 bilion hanya pada 2017, yang mewujudkan permintaan tinggi terhadap kimia perindustrian bagi menyokong aktiviti pemprosesan dan pembuatan perindustrian.

Pada 2017, jumlah perdagangan Malaysia dengan Vietnam bagi kimia dan produk kimia berkembang sebanyak 21.1 peratus bernilai RM4.36 bilion berbanding tahun sebelumnya.

Jumlah eksport kimia dan produk kimia ke Vietnam juga meningkat sebanyak 22.1 peratus kepada RM3.69 bilion pada tahun itu, kata agensi itu.

Sementara itu, jumlah perdagangan Malaysia dengan Kemboja bagi kimia dan produk kimia mencatatkan peningkatan sebanyak 25.6 peratus kepada RM87.6 juta bagi tempoh 2016 – 2017 manakala eksport kimia dan produk kimia ke Kemboja meningkat sebanyak 24.5 peratus kepada RM85.3 juta, kata Matrade. – Bernama
Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!