Tiada dokumen diri, 22 pekerja rumpai laut ditahan
TAWAU – Gagal mematuhi syarat lesen dikeluarkan Jabatan Perikanan kerana menggunakan pekerja asing, Pasukan Polis Marin (PPM) menahan dua pengusaha rumpai laut bersama 22 pekerja asing dalam Op Gelora di kawasan laut Pulau Sidam dekat sini, semalam.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata kesemua lelaki berumur lingkungan 22 hingga 52 tahun itu didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan mereka ditahan ketika melakukan kerja-kerja penanaman rumpai laut pada 7.30 pagi.
Dalam kenyataan di sini hari ini, beliau berkata turut dirampas dalam operasi itu 750 kilogram rumpai laut selain enam jongkong kayu dan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM65,250.
Menurutnya, tangkapan dan rampasan ditunda ke Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985 serta Akta Imigresen 1959/63.
Sementara itu, Mohamad Pajeri berkata pada hari yang sama kira-kira 15 minit selepas tangkapan 24 lelaki itu, pihaknya turut menahan lima lagi individu berumur antara 24 hingga 51 tahun di kawasan laut Sungai Melayu.
Katanya ketika ditahan seorang lelaki tempatan iaitu juragan bot sedang membawa empat penumpang termasuk tiga wanita dari Jeti CIQ Tawau menuju ke Sungai Melayu.
"Siasatan awal mendapat tiga daripada penumpang memiliki pasport tamat tempoh manakala seorang lagi penumpang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri,” katanya.
Mohamad Pajeri berkata juragan tempatan berumur 50 tahun serta empat penumpang tersebut ditahan kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran dan kes disiasat di bawah Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007( Pindaan 2010). - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!