Ibu, ayah dan anak 15 tahun edar dadah

Abdul Rahim (tengah) memeriksa pil kuda yang ditemui dalam dua serbuan berasingan oleh pasukan BSJN Kota Bharu pada Jumaat lalu dan semalam.
Abdul Rahim (tengah) memeriksa pil kuda yang ditemui dalam dua serbuan berasingan oleh pasukan BSJN Kota Bharu pada Jumaat lalu dan semalam.
A
A
A

KOTA BHARU - Sepasang suami isteri bersama seorang anak lelaki berusia 15 tahun ditahan kerana dipercayai mengedar dadah dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Hospital di sini, Jumaat lalu.

Remaja terbabit ditahan bersama bapanya berusia 34 tahun dan ibu yang berusia 32 tahun pada jam 10.45 malam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, ketika serbuan dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Kota Bharu, pasangan suami isteri berkenaan berada di dalam sebuah bilik dan pemeriksaan lanjut menjumpai satu beg kecil berwarna coklat di atas tilam.

“Di dalam beg tersebut terdapat satu peket ketulan kristal dadah dipercayai syabu dengan anggaran berat 142 gram (g) bernilai RM21,150.

“Turut ditemui plastik cerah berangkai berisi pil berwarna merah berjumlah 662 dipercayai pil kuda bernilai RM9,930,” katanya.

Beliau berkata, keseluruhan rampasan dadah bernilai RM31,080 tersebut dikatakan didapati dari negara jiran dan diseludup masuk ke Kelantan untuk tujuan pasaran di sekitar daerah Kota Bharu.

Katanya, siasatan awal turut mendapati ketiga-tiga mereka mempunyai pengetahuan berhubung dadah di dalam bilik tersebut.

“Mereka dipercayai aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah sejak sebulan lalu dan semakan mendapati bapa yang bekerja sendiri tersebut memiliki empat rekod lampau berkait dadah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, ujian saringan urin mereka sekeluarga didapati ketiga-tiganya positif dadah jenis methamphetamine.

“Suami isteri tersebut ditahan reman tujuh hari sehingga Jumaat ini, manakala anak mereka ditahan reman lima hari sehingga Rabu ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, empat termasuk seorang wanita berusia 34 tahun ditahan di sebuah rumah di Jalan Pintu Geng di sini pada jam 6.30 petang semalam.

Berikutan penahanan keempat-empat individu berusia antara 23 hingga 25 tahun itu, pihaknya turut menjumpai 50.5g dadah dipercayai syabu serta 50 pil kuda yang keseluruhannya bernilai RM5,325.

“Kesemua mereka didapati positif methamphetamine dan ditahan reman enam hari sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A dan 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!