Lagi laporan polis terhadap Siti Kassim
ALOR SETAR - Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Kota Setar membuat laporan polis terhadap peguam, Siti Kassim susulan kenyataannya meminta institusi tahfiz di negara ini diharamkan jika ingin melarang penjualan arak.
Pengerusinya, Baharudin Mohd Ali berkata, tindakan peguam berkenaan atau nama sebenarnya Siti Zabedah Kasim yang menyamakan institusi tahfiz dengan gejala arak adalah amat tidak bertanggungjawab.
"Siti Kassim turut mendakwa maahad tahfiz telah menyebabkan masalah terhadap anak-anak kecil yang tidak berdosa.
"Kenyataan tersebut amat tidak wajar dan mengecewakan seluruh umat Islam di negara ini yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan seperti termaktub Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan Malaysia," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, kenyataan Siti Kassim itu mampu menyebabkan ketegangan, ketidaktenteraman serta kegelisahan kepada masyarakat Islam.
"Oleh itu saya berharap pihak polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dapat menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap Siti Kassim," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!