Rusia lulus avifavir rawat pesakit Covid-19
MOSCOW - Rusia akan mula menggunakan ubat antivirus pertama yang diluluskan Kementerian Kesihatan negara itu untuk merawat pesakit dijangkiti koronavirus (Covid-19) yang merupakan versi generik ubat selesema Jepun, avigan.
Ketua Dana Kekayaan Negara RDIF, Kirill Dmitriev memaklumkan, hospital di negara itu boleh memberikan ubat kepada pesakit yang didaftarkan di bawah nama avifavir itu bermula 11 Jun depan.
Menurutnya, bekalan ubat itu mencukupi untuk merawat kira-kira 60,000 pesakit setiap bulan sejurus ia dimasukkan dalam senarai ubat-ubatan yang mendapat kelulusan selepas ujian klinikal pada Sabtu lalu.
"Ujian dilakukan ke atas 330 individu menunjukkan ubat itu berjaya merawat kebanyakan kes dalam tempoh empat hari. Ujian dijangka siap dalam tempoh seminggu dan lebih banyak prosedur sama akan dijalankan.
"Kementerian Kesihatan telah memberikan kelulusan penggunaan ubat itu di bawah proses khusus dan penghasilannya telah bermula pada Mac lalu. Kami percaya ini adalah 'game changer' (agen perubahan) kerana ia akan mengurangkan tekanan terhadap sistem penjagaan kesihatan. Kami menjangkakan ia dapat merawat 90 peratus individu dalam tempoh 10 hari," ujarnya.
Jelasnya lagi, ubat dalam bentuk tablet yang mempunyai beberapa kesan sampingan dan tidak digalakkan untuk wanita hamil itu juga membolehkan pesakit mengurangkan tempoh rawatan di hospital.
Ketika ini, Rusia menjadi negara ketiga mencatatkan kes jangkitan tertinggi di belakang Brazil dan Amerika Syarikat (AS) dengan lebih 414,000 kes dan 4,855 kematian. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!