KRM, MSN tidak pinggir kebajikan pemain Rimau 7's
KESATUAN Ragbi Malaysia (KRM) menolak dakwaan badan induk sukan itu dan Majlis Sukan Negara (MSN) tidak mempunyai perancangan untuk pemain sedia ada dalam skuad ragbi tujuh sepasukan (Rimau 7’s).
Presidennya, Datuk Shahrul Zaman Yahya menjelaskan, sebahagian besar pemain Rimau 7’s bakal menyertai pasukan 15 sepasukan (15’s) negara menjelang Kejohanan Ragbi Asia 2020 yang dijadualkan bermula Jun, namun ditangguhkan susulan penularan pandemik koronavirus (Covid-19).
KRM memaklumkan, seorang pemain skuad Rimau 7’s bersama empat pemain skuad 15’s negara turut terpilih menyertai pasukan Malaysia Valke, iaitu pasukan profesional dari Afrika Selatan berpangkalan di Malaysia, bagi Kejohanan Global Rapid Rugby (GRR) 2020.
“Secara keseluruhannya, hampir kesemua pemain pasukan 7’s kebangsaan sedia ada mendapat perhatian daripada pasukan profesional Malaysia Valke atas pencapaian yang mereka lakar sejak empat tahun lalu, namun kerana pandemik Covid-19, kedua-dua kejohanan telah ditangguhkan.
ARTIKEL BERKAITAN: Rimau 7's tidak dibubarkan
“Beberapa pemain Rimau 7’s lain turut disenarai pendek oleh Malaysia Valke, namun terhalang kerana masalah kecederaan selain terdapat pemain yang tidak mendapat pelepasan daripada pihak pengurusan yang mahu membuat rayuan untuk mereka berada dalam program jangka panjang Sukan Asia 2026,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kebelakangan ini timbul isu melibatkan sebahagian pemain Rimau 7’s bersama pihak pengurusan selepas kontrak bersama MSN menuju temasya Sukan SEA 2019 di Filipina, yang berakhir pada Mac lalu tidak disambung.
Pada masa sama, timbul dakwaan KRM tidak menyediakan perancangan masa depan buat pemain sedia ada Rimau 7’s sebaik KRM dan MSN mencapai persetujuan melaksanakan program latihan jangka panjang menuju Sukan Asia 2026 di Nagoya, Jepun.
Sharul Zaman berkata, pihaknya sedang berusaha menamakan lima pemain sedia ada ke dalam program itu dan ia sepatutnya dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja MSN antara Mac dan April lepas, namun terhalang ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Memandangkan kejayaan program empat tahun tersebut maka MSN bersama KRM telah bersetuju melaksanakan program latihan jangka panjang seterusnya dan menjadikan Sukan Asia 2026 sebagai sasaran selepas tuan rumah Sukan SEA 2021 dan 2023, Vietnam dan Kemboja masing-masing menyatakan sukan itu kemungkinan tidak dipertandingkan.
“MSN dan KRM sentiasa mengutamakan kebajikan para pemain, oleh kerana itulah walaupun Sukan SEA berakhir awal Disember 2019, kontrak pemain hanya ditamatkan pada penghujung Mac 2020,” katanya.
Program latihan jangka panjang menuju Sukan Asia 2026 itu bertujuan mempersiapkan skuad kebangsaan untuk mencabar Korea Selatan dan Sri Lanka selaku antara empat pasukan terbaik Asia, sekali gus membawa pulang pingat gangsa yang menjadi sasaran utama.
Bagaimanapun, KRM menegaskan, program MSN itu yang lebih menumpukan kepada pemain berpotensi daripada Program Pembangunan Ragbi Negara (NRDP) berusia dalam lingkungan 22 tahun, adalah berasingan dengan skuad kebangsaan yang mewakili Malaysia ke kejohanan tertinggi antarabangsa.
KRM turut memberi jaminan meskipun kontrak pemain sedia ada Rimau 7's tidak disambung, badan induk itu tidak sesekali menafikan hak untuk terus mewakili skuad kebangsaan selagi mereka mampu beraksi pada tahap terbaik.
“Melalui program ini tumpuan akan diberikan kepada barisan pemain yang berada di dalam lingkungan bawah 22 tahun namun pada masa sama MSN dan KRM masih mengekalkan beberapa pemain sedia ada.
“Di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sukan Ragbi MSN, MSN, KRM dan ISN (Institut Sukan Negara) telah berbincang dan mempersetujui dasar baharu program ke arah Sukan Asia 2026 dengan tumpuan pemain dalam kalangan umur 18-22 tahun yang mencapai taraf matang dalam masa enam tahun dan mencapai umur antara 24-28 tahun semasa Sukan Asia 2026,” katanya.
PENCAPAIAN RIMAU 7’s SEPANJANG 2016 HINGGA 2020
Asia Rugby Seven Series:
2016 - Tempat keenam (Kekal di ARSS 2017)
2017 - Tempat ketujuh (Kekal di ARSS 2018)
2018 - Tempat kelapan (Turun ke ARS Trophy 2019)
2019 - Juara Asian Rugby Sevens Trophy
Sukan SEA:
2017 - Pingat emas
2019 - Pingat perak
Sukan Komanwel:
2018 - Tempat ke-14
Sukan Asia:
2018 - Tempat kelima
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!