Gubal perlindungan untuk rakyat
SEMUA rakyat Malaysia telah pun tahu bahawa sepatutnya Malaysia akan memulakan persidangan Dewan Rakyat di Parlimen pada 18 Mei lalu.
Bagaimanapun, akibat sikap acuh tak acuh dan mementingkan politik diri daripada nasib rakyat dan masa hadapan negara, urusan mesyuarat Dewan Rakyat hanya berlangsung setakat urusan Titah Diraja Istiadat Pembukaan Penggal Parlimen oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Tiada perbahasan sebarang usul yang dibentangkan. Tiada urusan berkenaan Covid-19 diangkat Dewan Rakyat. Tiada suara yang sepatutnya mewakili rakyat dibenarkan untuk bersuara.
Inilah yang mungkin dikatakan sebagai normal baharu. Benar, ramai yang susah di luar sana. Betul, jumlah orang dibuang kerja saban hari makin bertambah-tambah.
Tetapi ia tidak pernah menghalang kerajaan Malaysia untuk menangguhkan perbahasan usul-usul yang penting dan kritikal ini pada 18 Mei 2020. Untuk rakyat Malaysia, mesej daripada kerajaan Malaysia adalah tunggu sahaja sehingga diberitahu kelak. Nasib dan isi perut kamu (rakyat Malaysia) kurang penting untuk dibahaskan di Dewan Rakyat.
Tulisan saya kali ini adalah untuk menggesa sidang Parlimen akan datang dilaksanakan dengan lebih serius. Kita harus segerakan penggubalan segala bentuk perlindungan yang terbaik untuk rakyat.
Sebagai contoh, isu kemalangan melibatkan pemandu mabuk. Peruntukan dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987 perlu segera dikaji dan diubah. Pada awal tahun ini (sewaktu kerajaan PH memerintah), Kabinet telah bersetuju untuk mengubah beberapa peruntukan seperti had ditetapkan kandungan alkohol dalam darah pemandu.
Malah, hukuman untuk mana-mana individu yang didapati bersalah menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau berbahaya perlu diberi perhatian serius.
Ini semua boleh dibahaskan sewaktu persidangan Parlimen bermula 18 Mei lalu, namun nasi sudah jadi bubur dan saya gesa perkara sama tidak berulang.
Saya juga ingin kongsi mengenai isu rakyat Malaysia yang sudah ramai dibuang kerja. Saya rujuk kenyataan Ketua Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin pada 8 Mei lalu. Jumlah pengangguran sudah meningkat 17.1 peratus dan kini jumlahnya sekitar 610,500 orang.
Soalnya, sampai bila kerajaan ingin berdiam diri dan tidak mahu membawa isu ini ke Parlimen? Kita sudah capai satu situasi yang dahsyat apabila makin ramai dibuang dan diberhentikan kerja.
Saya tahu Malaysia tidak boleh menghalang krisis Covid-19 daripada berlaku tetapi langkah dan strategi yang tepat harus segera dilaksanakan.
Jadi, apabila kerajaan memberi Bantuan Prihatin Nasional kepada rakyat, banyak juga persoalan dan masalah yang timbul seperti kelangsungan bantuan ini kepada kehidupan rakyat, jumlah penerima yang tidak layak kerana maklumat tidak dikemaskini serta bantuan kepada majikan yang sebenarnya tidak mengatasi masalah yang berlaku.
Jadi, di mana perkara dan rungutan rakyat ini harus disuarakan? Jawapannya di Dewan Rakyat.
Seramai 222 ahli Parlimen telah dipilih rakyat untuk mewakili mereka terutama apabila masalah ini telah menjadi isu nasional. Benar, ada sesetengah ahli Parlimen yang tidak menjalankan tugas dengan baik semasa Dewan Rakyat bersidang tetapi ia bukan alasan untuk kita menangguhkan sidang dan menutup pintu Parlimen.
Banyak lagi isu rakyat yang menjadi isu penting dan patut dibawakan ke Dewan Rakyat. Apakah jawapan kerajaan dalam isu sewa harga rumah sewaktu krisis berlaku, yuran pengajian pelajar yang ditangguh sesi pembelajaran dan sektor perkhidmatan yang terjejas teruk?
Usah lagi berdalih dan segera sediakan perlindungan kepada rakyat.
* Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ialah Ahli Parlimen Muar dan Ketua Armada Bersatu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!