Layanan 'manja' ratusan ringgit tumpas
PUCHONG - Terlentok hingga sanggup membayar ratusan ringgit sebagai tip layanan manja gadis pelayan pelanggan (GRO).
Godaan seksi GRO warga asing terhadap pengunjung berhidung belang di sebuah pusat hiburan di Bandar Puteri, di sini, itu bagaimanapun tersentak selepas digempur Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Kontinjen Selangor menerusi Ops Noda, malam tadi.
Pegawai Turus D7 Selangor, Deputi Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata, Ops Noda ini dijalankan pada jam 10.40 malam hasil maklumat dan risikan.
"Seramai 17 wanita membabitkan warga Vietnam berusia lingkungan 19 hingga 30-an telah ditahan ketika sedang leka melayan pelanggan berhibur.
"Turut ditahan adalah seorang penjaga premis warga tempatan dan tiga pekerja lelaki warga Myanmar," katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata, beberapa barang dirampas antaranya mikrofon, speaker, minuman keras dan wang tunai.
Mengulas lanjut, Mohd Khaizam mendedahkan, premis tidak berlesen dan pernah beberapa kali diserbu ini dipercayai menggunakan wanita warga asing sebagai tarikan pengunjung.
"Pelanggan akan dilayan GRO ini untuk minum dan berhibur. Tip akan diberikan sebanyak RM50 hingga RM500 bergantung kepada pelanggan dengan layanan tersebut," katanya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Enakmen Hiburan Dan Tempat-Tempat Hiburan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!