Tunggakan hutang tambah beban KFA
PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) didakwa menanggung hutang lebih tinggi dan bukannya RM1.5 juta sebagaimana dilaporkan sebelum ini.
Sumber memberitahu Sinar Harian, tunggakan hutang tersebut jelas membebankan KFA, namun setakat ini belum ada kenyataan rasmi daripada badan induk itu mengenai kedudukan kewangan mereka terutamanya berkaitan isu tunggakan gaji pemain.
Menurutnya, masalah itu tidak boleh dipandang ringan kerana tunggakan gaji pemain yang difahamkan telah berlarutan sejak Februari lalu boleh mengheret KFA kepada tindakan undang-undang.
“Meskipun teraju pentadbiran negeri sudah berubah, bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir secara rasmi masih bertanggungjawab sebagai Presiden KFA.
“Setakat ini belum ada sebarang panggilan untuk mesyuarat agung luar biasa A(GM) atau kongres khas membabitkan semua ahli gabungan untuk melantik presiden atau kepimpinan baharu dalam KFA,” katanya baru-baru ini.
Sehubungan itu, beliau meminta Mukhriz menyelesaikan segala perkara berbangkit terutamanya membabitkan soal pembayaran tunggakan gaji sebelum melepaskan jawatan.
“Beliau tidak sepatutnya lepas tangan kepada pimpinan kerajaan yang baharu atau membiarkan kedudukan bola sepak Kedah dalam keadaan tidak tentu arah. Jangan sampai pasukan Lang Merah tidak dapat main liga,” ujarnya.
Menurutnya lagi, beban hutang itu tidak harus dipikul di bahu pimpinan baharu kerajaan negeri untuk menggunakan wang rakyat bagi membayar tunggakan gaji skuad Lang Merah.
“Dengan keadaan ekonomi semasa yang sangat lembab akibat pandemik Covid19, menggunakan wang rakyat untuk membayar hutang boleh mendatangkan masalah kepada kerajaan negeri,” ujarnya.
Terdahulu, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor memaklumkan, kerajaan negeri di bawah pimpinan Mukhriz belum meluluskan bayaran RM1.5 juta kepada KFA bagi membayar tunggakan gaji pemain skuad Lang Merah.
Sebaliknya, beliau memberitahu, kerajaan negeri terdahulu hanya membuat cadangan bayaran, namun sebarang kelulusan tidak pernah berlaku kerana ia terlalu hampir ketika peralihan kerajaan negeri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!