Persediaan buka ekonomi sepenuhnya
[LAPORAN KHAS] HANYA tinggal lapan hari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dijadualkan tamat pada 9 Jun ini. Namun persoalannya, apakah babak seterusnya selepas tarikh tersebut?
Selain teka-teki sama ada PKPB bakal ditamatkan atau dilanjutkan, timbul persoalan adakah kita telah bersedia untuk kembali menggerakkan sepenuhnya pelbagai sektor dalam negara terutama ekonomi.
Menerusi statistik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), negara mencatatkan peratusan kes sembuh Covid-19 yang memberangsangkan dari masa ke masa. Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah turut mengakui Malaysia kini dalam fasa pemulihan terakhir.
Hal ini sekali gus membuktikan langkah-langkah pengawalan yang dilakukan kerajaan selain kepatuhan rakyat mengamalkan normal baharu seperti penjarakkan sosial membuahkan hasil positif.
Malah tiada kes kematian baharu dilaporkan dalam tempoh 10 hari lalu, dengan jumlah kumulatif kes kematian kekal 115 orang.
Kisah kejayaan negara meratakan graf lengkungan jangkitan virus Covid-19 turut meraih perhatian masyarakat dunia yang memuji cara Malaysia menangani krisis kesihatan yang diisytiharkan sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada bulan Mac lalu.
Namun, di sebalik kejayaan yang dikecapi, kita tidak harus mendabik dada. Kerjasama pelbagai lapisan masyarakat harus diteruskan bagi mengelakkan gelombang kedua virus pembunuh yang boleh diumpamakan seperti pembunuh senyap itu.
Pakar Kesihatan Awam (Epidemiologi/Biostatistik) Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman berpendapat, melihat situasi terkini, PKPB tidak akan ditamatkan secara mutlak, namun terdapat kelonggaran lain yang akan dibenarkan kepada sebahagian industri atau organisasi.
“Sebagai contoh, untuk universiti dan institusi pendidikan, pelajar yang terlibat dengan projek penyelidikan atau mereka yang berada dalam tahun akhir mungkin akan dibenarkan menyambung semula pengajian.
“Masjid dan rumah ibadah yang lain mungkin akan mula beroperasi dengan lebih sistematik dengan pertambahan individu yang dibenarkan untuk hadir dalam setiap rutin ibadah masing-masing,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Malina, situasi negara secara umum bertambah baik apabila merekodkan kes baharu satu digit dalam kalangan rakyat tempatan sejak seminggu lalu.
“Meskipun terdapat pertambahan sebanyak tiga angka baru-baru ini yang kebanyakannnya dalam kalangan pekerja asing, namun situasi klinikal secara keseluruhan bertambah baik berikutan penurunan kes yang dirawat di ICU dan juga pesakit yang memerlukan bantuan pernafasan.
“Cerapan juga menyaksikan kes-kes yang mendapat jangkitan pada masa ini kebanyakannya mempunyai gejala ringan. Corak jangkitan virus terbabit tidak seagresif sepertimana wabak mula-mula dilaporkan pada bulan Januari hingga Mac lalu,” katanya lagi.
Fleksibel
Ditanya adakah negara kini mampu bersikap lebih fleksibel dalam menggerakkan kembali rutin kehidupan seperti aktiviti ekonomi atau menunggu sehingga mencapai sifar Covid-19, beliau berkata, secara umum kepatuhan sebahagian besar penduduk negara kita sangat tinggi pada semua langkah pencegahan untuk mengelakkan jangkitan.
“Saya juga yakin, kebanyakan kita sedar kepentingan untuk menggerakkan aktiviti ekonomi dalam jangka masa segera mengikut kemampuan kita demi memulihkan kembali sebahagian daripada keperluan berkenaan yang terhenti akibat PKP dan PKPB baru-baru ini.
“Walaupun secara teori kita perlu menunggu sehingga sifar selama 14 hari berturut-turut, namun senario semasa menampakkan jangkitan jauh berkurangan berbanding ketika kita mulakan PKP dahulu.
“Untuk itu, saya cenderung kepada pemilihan keputusan yang lebih fleksibel dengan menisbahkan kemampuan dari segi menangani wabak pada masa ini serta keperluan kita untuk meneruskan aktiviti ekonomi,“ katanya.
Dalam pada itu, Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid bersetuju pendekatan lebih fleksibel diambil dalam menggerakkan kembali aktiviti ekonomi negara berikutan ketika PKPB kes-kes baharu Covid-19 berada dalam keadaan terkawal.
“Ekonomi penting kerana kehilangan pendapatan juga boleh menyebabkan masalah lain seperti masalah sosial dan jenayah. Oleh itu pendekatan yang fleksibel amat diperlukan supaya kegiatan ekonomi akan terus dibuka,” katanya kepada Sinar Harian.
Mohd Afzanizam berkata, sekiranya semua berjalan lancar, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dijangka mencatatkan pertumbuhan yang positif pada suku keempat tahun 2020.
”Jumlah rangsangan ekonomi adalah besar dan sekiranya kegiatan ekonomi dibuka maka kesan positif kepada negara adalah tinggi terutamanya kepada perbelanjaan kerana perbelanjaan dalam kalangan isi rumah melebihi 50 peratus daripada KDNK negara.
“Hampir kesemua sektor telah bergerak semula, hanya sektor berkaitan pelancongan dilihat masih lagi tidak berupaya untuk beroperasi sepenuhnya,” katanya lagi.
Beliau turut berpendapat, penjarakkan sosial akan terus diamalkan kerana ini sudah menjadi sebahagian normal baharu yang umum mengetahui risiko jangkitan masih lagi wujud.
“Para peniaga juga dijangka terus mengamalkan protokol kesihatan seperti sanitasi supaya premis perniagaan terus bebas daripada wabak penyakit ini.
“Ketika penularan wabak ini berlaku, banyak perniagaan yang terjejas akibat daripada pelaksanaan PKP dan PKPB. Sudah tentu kita tidak mahu mengulangi langkah-langkah ini kerana kesannya yang begitu negatif dari sudut ekonomi.
“Buat masa ini, vaksinasi belum lagi ditemui. Oleh yang demikian, kempen penjagaan kebersihan perlu diteruskan bagi memastikan risiko penularan wabak adalah terkawal,” tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!