Derita keluarga jadi mangsa keganasan rumah tangga

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Didera, dihina, dan diganggu secara seksual.

Begitulah penderitaan dialami oleh Hidayah (bukan nama sebenar) yang menjadi mangsa kezaliman bapa kandung sendiri.

Hidayah, 24, bersama anaknya ‘terperangkap’ di rumah ibu bapa di Seremban, Negeri Sembilan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada Mac lepas, manakala suaminya bekerja di Labuan.

Ibarat kata pepatah, harapkan pegar, pegar makan padi, begitulah azab kehidupan Hidayah, anak sulung yang menumpang di rumah ibu bapanya dan terus menjadi mangsa gangguan seksual dan penderaan bapa sendiri sejak usia 7 tahun.

Hidayah yang kini hamil empat bulan anak kedua, mendakwa ibunya dan lima adiknya turut menjadi mangsa penderaaan bapa yang juga seorang penganggur, kaki judi dan penagih dadah.

Lebih menjelekkan apabila, anak lelaki Hidayah yang baru berusia 16 bulan turut diganggu datuknya.

“Anda mungkin tidak percaya, bapa bagi tahu dia boleh menawarkan khidmat seks kepada cucunya itu,” luahnya kepada Bernama sambil menambah, tidak cukup dengan sikap keji bapanya itu, mereka sekeluarga sering berdepan dengan cacian serta tempikan bapanya sepanjang hari.

“Ada saja yang tak kena di matanya...ayah selalu maki kami,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Hidayah, dia didera bapanya sejak kecil dan mendakwa dipukul hampir keseluruhan anggota badannya seperti di bahagian kepala, tangan, perut, dahi dan bibir sehingga meninggalkan kesan luka dan lebam.

“Ayah menggunakan objek seperti kayu, besi malah kerusi untuk memukul saya,” katanya menambah walaupun dia boleh meninggalkan rumah dan hidup bersama suami, namun perasaan takut yang menyelubungi Hidayah menjadi batu penghalang buatnya untuk menyelamatkan diri daripada ‘cengkaman’ bapanya dan seterusnya keluar dari rumah keluarganya.

Keganasan intim

Episod hitam yang dialami Hidayah dan sikap zalim bapanya itu merupakan antara corak kes keganasan rumah tangga melibatkan si pendera mungkin terdiri daripada suami, anggota keluarga terdekat atau penjaga.

Pendera menggunakan kekerasan dan merancang pelbagai taktik untuk mengancam, memaki, bertindak ganas termasuk melakukan keganasan seksual, dan dalam kebanyakan kes, mangsa adalah wanita.

Keganasan intim (keganasan yang dilakukan anggota keluarga) atau intimate terrorism melibatkan si pendera mengawal pasangan mereka (isteri) atau anak dengan pelbagai cara.

Pengarah Pusat Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Fauziah Mohd Saad berkata, bagi kes keganasan intim ini, si pelaku menggunakan kekerasan fizikal serta merancang pelbagai taktik untuk mengawal mangsa sama ada dari segi penderaan fizikal, verbal, emosi, ekonomi dan penderaan seksual.

“Terlalu obsesi dengan pasangan sehingga cemburu tidak menentu, (faktor) genetik dan pengaruh persekitaran juga boleh jadi punca (penderaan) melibatkan penganiayaan fizikal seperti menampar, mencengkam, mencubit, menggigit dan penganiayaan seksual iaitu memaksa pasangan melakukan hubungan seksual,” katanya.

Sementara itu, pakar psikoterapi dan kaunseling (Kemurungan dan Kebimbangan), Access Counselling Services, Dr Meriam Omar Din berkata, pelaku mungkin mempunyai sejarah silam didera sewaktu kecil sehingga mengakibatkan dia mendera mangsanya.

“Penderaan bukan satu tingkah laku semula jadi kerana kebanyakannya dipelajari sama ada dari contoh suri teladan yang berlaku dalam keluarga sendiri atau pengalaman didera terutama sekali semasa kecil.

“Stres atau tekanan hidup menjadi faktor penyebab (keganasan rumah tangga) sahaja, kerana sifat ganas dan tabiat mendera itu sudah tertanam di dalam dirinya,” jelas Meriam.

Elak provokasi

Meriam berkata, orang yang mendera lazimnya seorang yang panas baran, maka adalah penting pasangan atau anggota keluarga mengelak daripada membuat sebarang provokasi dan menyakiti antara satu sama lain.

“Jangan marah, jangan berleter, berbincang secara elok dengan mereka...ini penting memandangkan ia boleh merangsang titik kemarahan dalam diri si pelaku untuk melakukan penderaan.

“Selain itu, elakkan bergaduh di hadapan anak-anak kerana itu boleh memberi kesan apabila anak membesar kelak. Misalnya, jika bapanya kaki pukul, mungkin anaknya akan membesar menjadi kaki pukul juga,” katanya.

Sambil menasihati individu yang cenderung memiliki sikap agresif atau yang melakukan penganiayaan serta kekerasan terhadap orang lain agar segera mendapatkan rawatan, Meriam berkata, mereka boleh berjumpa kaunselor atau pakar psikiatrik.

Mengulas lanjut, katanya, ujian psikometrik terhadap individu berkenaan akan dijalankan bagi melihat sejauh mana tahap kesihatan mental yang dihadapi mereka.

“Jika kesihatan mental mereka berada pada tahap teruk, mungkin boleh dirujuk kepada pakar psikiatri untuk mendapatkan rawatan bagi mengawal sikap agresif dan membuat modifikasi tingkah laku,” katanya.

Jiran tetangga perlu cakna

Beliau juga menasihatkan jiran tetangga agar melaporkan dengan segera kepada pihak berkuasa sekiranya mendapati sesuatu yang mencurigakan atau mengetahui berlakunya keganasan rumah tangga di sekeliling mereka.

“Jika terdapat tingkah laku, bunyi atau sebagainya yang mencurigakan...dan kita rasa ada berlaku penderaan atau pencabulan (di rumah berkenaan) contohnya bunyi kuat seperti bergaduh, bunyi macam kena pukul, menjerit, meraung dan sebagainya, maka segera laporkan,” katanya.

Mengulas mengenai sikap mangsa yang berat hati membuat laporan berkenaan penderaan terhadapnya, beliau berkata, ia menjadi lebih sukar jika melibatkan pasangan.

“(Pendera dan mangsa) tahu titik kelemahan (pasangan) masing-masing dan (mangsa) enggan untuk lapor kerana tahu itu suami beliau...(walaupun) setelah dipukul dengan teruk, suami pula memujuk dengan kata-kata manis,” jelas beliau.

Katanya, sekiranya, mangsa tidak menyelamatkan diri, kesan psikologi kepada mangsa akan berlaku sehingga boleh menyebabkan mangsa tidak yakin pada diri sendiri.

“Selain itu, mangsa berkemungkinan menjadi pendera apabila meningkat dewasa sekiranya mempunyai kuasa terhadap orang lain,” tambah beliau.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!