Empat geng ah long diberkas kes bakar rumah kontraktor
SUNGAI PETANI - Empat individu termasuk seorang wanita dipercayai geng ah long ditahan bagi membantu siasatan berhubung kebakaran sebuah rumah di Kulim bulan lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Senior Asisten Komisioner Sapii Ahmad berkata, kesemua mereka berusia antara 28 hingga 36 tahun ditahan dalam serbuan dilakukan di empat premis secara berasingan antara 27 hingga 31 Mei lalu.
Menurutnya, suspek disyaki terlibat dalam beberapa kes membaling cat merah dan molotov cocktail ke rumah peminjam wang yang gagal melunaskan hutang sehingga menyebabkan kebakaran termasuk kejadian pada 14 Mei lalu.
"Hasil pemeriksaan di sebuah apartment yang diserbu didapati dijadikan pejabat operasi dengan penemuan beberapa barang kes disyaki digunakan dalam kegiatan jenayah.
"Antara barangan ditemui termasuk kad ATM pelbagai bank, telefon bimbit, komputer riba, mesin kad kredit, mesin kira wang, peti besi, beberapa bilah parang panjang, botol cat merah, tong cat merah, sarung tangan dan kereta," katanya.
Beliau berkata, kesemua suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan.
Pada 14 Mei lalu, seorang kontraktor menyedari bahagian hadapan rumahnya terbakar dalam kejadian di Taman Serai Wangi, Kulim pada 6.15 pagi setelah dikejutkan jiran.
Kebakaran pada mulanya disyaki akibat litar pintas, namun siasatan lanjut menunjukkan ada kaitan dengan sindiket ah long.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!