Kaji semula pemecatan Tun M daripada Bersatu

MUHAMMAD ZULFADHLY
MUHAMMAD ZULFADHLY
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kepimpinan tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) wajar mengkaji semula pemecatan Tun Dr Mahathir Mohamad dan empat pemimpin tertingginya yang lain agar mereka diberi keadilan.

Ketua Armada Bersatu Bahagian Sri Gading, Muhammad Zulfadhly Zulkifly berpendapat, langkah itu wajar dalam keadaan parti berpecah-belah ketika ini dan sebarang keputusan perlu berdasarkan Perlembagaan parti untuk menentukan nasib mereka.

"Selepas dikaji sebarang keputusan nanti harus diterima kelima-lima Ahli Majlis Tertinggi Bersatu itu dengan berlapang dada.

"Kita tidak memihak kepada mana-mana kerana kita tetap sokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden Bersatu dan Perdana Menteri.

"Namun kita juga hormati Dr Mahathir kerana jasanya sebagai pengasas Bersatu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Pada 28 Mei lalu Dr Mahathir, Timbalan Presiden parti berkenaan, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Dr Maszlee Malik dan Datuk Amiruddin Hamzah dipecat keahlian daripada parti itu.

Kelima-lima mereka dipecat atas alasan duduk di kerusi pembangkang semasa persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu dan tidak duduk di bangku blok kerajaan Perikatan Nasional (PN) diterajui Muhyiddin.

Muhammad Zulfadhly berkata, pemecatan Mahathir mempunyai pro dan kontranya sendiri termasuk dapat mengendurkan sedikit ketegangan serta mengelakkan kekeliruan dalam kalangan ahli.

Artikel Berkaitan:

Ini kerana katanya, sekiranya tidak dipecat ahli akan keliru arahan siapa yang perlu diikut kerana pada masa sama Muhyiddin selaku Presiden dan Pemangku Pengerusi Bersatu turut mengeluarkan arahan.

Dakwanya, banyak bahagian Bersatu di Johor menyokong penuh kepimpinan Muhyiddin dan tidak bersetuju sekiranya Bersatu bergabung semula dengan Pakatan Harapan (PH) selepas kira-kira 22 bulan bersama-sama sebagai kerajaan.

"Contohnya semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) di Semenyih dan Tanjung Piai baru-baru ini, kita tidak mendapat kerjasama yang padu daripada parti lain dalam PH.

Malah, PH juga memberi tekanan kepada kita dalam banyak perkara dan juga terhadap Tun Dr Mahathir untuk meletak jawatan," katanya.

Menurut beliau, Bersatu yang bertanding di Tanjung Piai ketika itu seakan berkempen sendirian sekali gus menganggap faktor tersebut antara punca kekalahan di kerusi berkenaan dan punca keretakan hubungan dengan PH.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!