Lori ikan bawa muatan 2 tan daun ketum
JELI - Cubaan dua lelaki untuk melepasi sekatan jalan raya dengan menunjukkan Surat Perkhidmatan Perlu kononnya membawa lori muatan ikan gagal apabila pemeriksaan menemui sejumlah 2,000 kilogram (kg) daun ketum hari ini.
Pemandu berusia 40 tahun bersama kelindan berusia 37 tahun tersebut ditahan di sekatan jalan raya Batu 6 Jalan Raya Timur Barat, Batu Melintang di sini pada jam 1.30 pagi.
Turut ditemui 100 botol ubat batuk berjumlah 10 liter, 54 biji pil kuda, 0.2 gram (g) syabu dan 1.5 liter air ketum yang keseluruhannya bernilai RM21,355.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli menahan lori Isuzu berwarna merah yang dipandu dari arah Gerik menuju ke Jeli.
Katanya, semakan nombor pendaftaran melalui sistem kompal mendapati lori didaftarkan jenis Hicom manakala nombor casis pula tidak sepadan.
“Mereka sempat menunjukkan Surat Perkhidmatan Perlu kepada anggota bertugas tetapi pemeriksaan mendapati sebotol cecair keperangan dipercayai air ketum dijumpai di tempat letak kaki kelindan, satu beg kecil berisi 54 pil kuda dan satu penyedut minuman berisi ketulan kristal dipercayai syabu dijumpai dalam papan pemuka.
“Pemeriksaan di bahagian belakang lori menjumpai bungkusan plastik hitam berisi balutan daun ketum yang diikat getah seberat 2,000 kg tersorok di belakang kotak berisi ikan,” katanya pada sidang akhbar di IPD Jeli di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Polis Daerah Jeli, Deputi Superintendan Ahmad Arifin.
Hasanuddin berkata, hasil risikan mendapati bekalan dadah tersebut dipercayai diperolehi dari utara Kedah dan dibawa ke Kelantan untuk dijual di pasaran sekitar Tanah Merah.
“Ujian urin terhadap kedua-dua suspek didapati mereka positif dadah jenis methamphetamine selain masing-masing mempunyai satu dan lapan rekod lampau.
“Mereka direman empat hari bermula hari ini sehingga Jumaat ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2), Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan masyarakat supaya tidak mengambil kesempatan terhadap surat kebenaran yang dikeluarkan pihak berkuasa bagi perkhidmatan perlu ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Polis akan terus memantau dan mengetatkan kawalan serta memastikan setiap pemandu lori tidak menyalah gunakan surat kebenaran itu dengan membawa barangan terlarang.
“Kami tidak akan bertolak ansur dengan golongan yang melanggar undang-undang dan tindakan keras akan diambil jika masih ada individu yang bertindak berani melakukan jenayah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!