Taman rekreasi di Pulau Pinang dibuka semula Sabtu ini

No Image Caption
A
A
A

GEORGETOWN - Setelah hampir empat minggu Pulau Pinang berada dalam zon hijau, kerajaan negeri memutuskan untuk membuka semula taman-taman rekreasi di negeri ini bermula Sabtu ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, perkara itu dipersetujui pada mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) Pulau Pinang yang dipengerusikannya hari ini.

"Sukacita saya mengumumkan pembukaan semula taman-taman rekreasi di Pulau Pinang iaitu Taman Bandaraya, Taman Metropolitan Relau, Taman Botani Pulau Pinang, kawasan mendaki Bukit Jambul, aktiviti mendaki Bukit Bendera dari laluan warisan di kaki bukit stesen dan pintu jalan jeep Bukit Bendera yang hanya untuk pejalan kaki.

"Waktu operasi taman-taman berikut adalah dari jam 7 pagi hingga 7 malam dan bilangan pengunjung terhad kepada 200 orang pada satu-satu masa kecuali Taman Metropolitan Relau yang hanya terhad kepada 50 orang. Semua pengunjung perlu mendaftarkan diri secara individu melalui imbasan kod QR di aplikasi PGCare," katanya dalam siaran langsung menerusi laman Facebooknya hari ini.

Beliau berkata, semua Hutan Simpanan Kekal di bawah seliaan Jabatan Perhutanan iaitu Taman Bukit Panchor, Teluk Bahang, Cherok Tokun, Hutan Pelajaran Air Hitam Dalam dan Bukit Juru; Taman Negara Pulau Pinang di bawah seliaan Jabatan Perhilitan; serta taman rekreasi dan empangan di bawah seliaan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) masih kekal ditutup.

Selain itu, katanya gerai durian hanya dibenarkan menjual secara bungkus atau 'take away' bermula Khamis ini berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) ketat pihak berkuasa tempatan (PBT).

Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Padang Kota turut memaklumkan kerajaan Persekutuan telah membatalkan peruntukan RM100 juta untuk membangunkan sistem kereta kabel alternatif bagi Bukit Bendera yang diumumkan bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika membentangkan Belanjawan 2020, Oktober tahun lepas.

Katanya, kajian prakebolehlaksanaan projek kereta kabel itu masih dalam proses dan dijangka siap pada separuh kedua tahun ini. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!