Parti liar budak sekolah kena gempur
GEORGETOWN - Seramai 20 remaja yang kebanyakan masih bersekolah ditahan kerana terlibat dengan parti liar dalam dua serbuan di sebuah kondominium di Jalan Sultan Ahmad Shah di sini malam tadi.
Operasi yang dilakukan jam 10.30 malam itu mendapati mereka menyewa dua unit kondominium untuk mengadakan majlis hari jadi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asistan Komisioner Soffian Santong berkata, pemeriksaan mendapati 'private party' yang dianjurkan itu bukan sahaja untuk meraikan hari jadi, malah mereka yang kebanyakan masih di bawah umur terlibat dengan penyalahgunaan dadah.
Menurutnya, dalam serbuan pertama seramai lapan lelaki dan tiga perempuan berusia antara 13 hingga 17 ditahan.
"Kesemua mereka masih bersekolah dan ada di antara mereka yang datang dari Bukit Mertajam dan Bayan Lepas.
"Pemeriksaan dilakukan di unit berkenaan menemui dadah jenis ketamin seberat 1.48 gram yang dianggarkan bernilai RM220, balutan rokok yang mengandungi serbuk putih juga dipercayai ketamin serta peralatan untuk menghisap dadah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Soffian berkata, ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati enam daripada mereka positif dadah.
Sementara itu dalam serbuan kedua, beliau berkata, pihaknya menahan tujuh lelaki dan dua perempuan yang berusia antara 14 hingga 20 tahun.
"Namun pemeriksaan di unit berkenaan tidak menemukan bahan terlarang dan ujian saringan air kencing dilakukan mendapati mereka bebas daripada pengaruh dadah.
"Kesemua yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk tindakan lanjut," katanya.
Tambahnya, selain disiasat atas kesalahan penyalahgunaan dadah, mereka juga dikenakan kompaun kerana tidak mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)
"Mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah kini direman selama empat hari untuk tindakan lanjut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!