Ibu sebak anak tanya 'mana papa'
SHAH ALAM - 'Mana papa', demikian rintihan Aleesya Zailiza yang berusia 6 tahun setiap kali menangis teringatkan arwah ayahnya, Mohamed Zaili Mohamed,44, yang maut dirempuh pemandu mabuk dalam kejadian di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala pusat bandar di sini semalam.
Menceritakan mengenai tingkah laku kanak-kanak itu, ibunya, Zahlawati Dahlan,47, berkata, anaknya itu sentiasa memanggil ayahnya setiap kali waktu malam.
"Semalam beberapa kali dia terjaga, dia tengok saya, tanyakan mana papa (Mohamed Zaili), saya sebak bila dia tanya macam tu, dia masih kecil tak tahu apa yang berlaku.
"Sehingga kini, gurau manja suami saya dengan anak-anak masih lagi terngiang-ngiang, rasa sedih sangat," katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, dirinya kini kehilangan bukan sekadar suami malahan teman rapat dan juga tempat meluahkan isi hati.
"Arwah seorang suami yang sangat baik, antara kami memang tak pernah nak gaduh, arwah pun tak pernah tinggikan suara kepada saya dan anak-anak.
"Selalu kalau ada apa-apa, saya akan berkongsi cerita dengan dia, kini dia tiada lagi, hanya ALLAH saja yang tahu perasaan saya ketika ini," katanya yang hampir 11 tahun mendirikan rumah tangga bersama Allahyarham.
Kehilangan suami yang menjadi tempat berteduh membuatkan Zahlawati kini perlu mengharungi hari demi hari mengusahakan perniagaan menjual makanan yang diusahakannya seorang diri.
"Arwah sebelum ini bekerja dengan Proton, kemudian dia berhenti dan bersama saya mengusahakan perniagaan menjual baju sebelum kami mengusahakan perniagaan menjual makanan ini bersama.
"Saya menjual makanan dan dia akan hantarkan kepada pelanggan, arwah memang sangat banyak membantu, selain itu sering memberi semangat kepada saya," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: 'Arwah berkeras mahu sedekah lemang malam tadi'
Tambahnya, dirinya sememangnya bergantung pendapatan dengan mengusahakan perniagaan makanan sepenuh masa.
"Saya memang tak ada sumber pendapatan yang lain selain daripada menjual makanan ini, Insya-ALLAH lepas ini saya akan terus meniaga, kalau tidak macam mana nak sara keluarga," katanya.
Terdahulu, Mohamed Zaili yang merupakan penghantar makanan maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Nissan Grand Livina yang disyaki pemandunya mabuk dalam kejadian di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala pusat bandar di sini semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, dalam kejadian jam 1.30 pagi itu, mangsa, Mohamed Zaili Mohamed,44, dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Bukit Antarabangsa selepas menghantar makanan yang diniagakan oleh isterinya.
Zulkefly berkata, akibat daripada perlanggaran tersebut, mangsa terbabas ke bahu jalan dan motosikalnya pula diseret kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian.
Jenazah Allahyarham kemudiannya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Tasik Kesuma.
Allahyarham meninggalkan seorang balu dan dua anak.
ARTIKEL BERKAITAN: Penghantar makanan maut dirempuh pemandu mabuk
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!