Pemain Liga-M tak sabar harungi rentak normal baharu
KAPTEN Perak, Shahrul Saad berharap aktiviti bola sepak termasuk latihan berpasukan dapat bermula lebih awal supaya pemain dapat mengembalikan kecergasan ke tahap terbaik sebelum saingan Liga Malaysia (Liga-M) bermula dijangka September depan.
Justeru, beliau percaya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak (MFL) akan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang baik untuk dibentangkan semula kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membolehkan saingan Liga-M bersambung semula.
“Mahu atau tidak, kita semua harus terima keputusan MKN ketika ini yang masih melarang segala aktiviti bola sepak dan ini adalah demi kebaikan semua pihak. Saya juga percaya FAM dan MFL akan terus bekerja keras bagi memastikan kami dapat beraksi semula kerana sekarang ini situasi sudah berubah dan apa sahaja boleh berlaku.
“Saya akan teruskan latihan macam biasa secara sendiri walaupun rasa lain sebenarnya, dan sekali seminggu jurulatih (Mehmet Durakovic) akan pantau perkembangan semua pemain,” kata pemain pertahanan berusia 26 tahun itu.
Saingan Liga-M ditangguhkan sejak 16 Mac lalu berikutan pandemik Covid-19.
Sementara itu, pemain tengah Terengganu FC, Nasir Basharuddin berkata, sebagai pemain, beliau bersedia untuk membiasakan diri dengan kebiasaan baharu selepas ini sama ada di atas padang atau luar.
“Macam manapun, kita semua kena hadapi situasi baharu ini dengan lebih positif dan saya percaya MFL akan lakukan yang terbaik untuk kita kembali beraksi dalam dalam masa terdekat,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!