PH mahu pulih institusi negara, bukan angkat individu
PAKATAN Harapan (PH) sebagai entiti perjuangan tidak muncul hanya pada pasca PRU ke-14.
Untuk memahami PH kita perlu kembali kepada perjalanannya yang panjang sejak penghujung 90-an lagi.
Jikalau mahu ke belakang lagi, PH adalah kesinambungan hasrat mereka sebelum era reformasi lagi yang mahukan demokrasi dan keadilan terpelihara dalam negara ini. PH bukan tentang individu tetapi ia satu cita-cita dan sebuah harapan.
Gagasan PH bermula dengan cetusan mahukan perubahan secara berstruktur dari sudut politik, ekonomi, kehakiman dan sosial.
Kes pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) dari UMNO pada tahun 1998 hanyalah cetusan kepada satu cita-cita dan keabsahan satu permulaan kepada perjuangan reformasi.
Kenapa reformasi? Sebab itulah sahaja perkataan yang sesuai untuk menggambarkan ia bukan perjuangan seorang individu, wataknya adalah simbol yang memaknai erti berpegang kepada prinsip.
Laungan Reformasi
Reformasi adalah laungan keramat pada hujung 90-an. Ketegasan DSAI mempertahankan tuduhan ke atas dirinya telah melahirkan adil sebagai tapak awal yang kemudiannya dikenali sebagai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan DSAI sebagai ikon kepada kehendak yang lebih besar iaitu melawan korupsi, nepotisma dan ketidakadilan.
Jelas sekali kompas moral pada institusi politik pemerintah Barisan Nasional (BN) semakin hilang arahnya dan kelemahan pentadbiran serta salah guna kuasa kepada institusi kehakiman, penguatkuasaan dan penindasan atas kebebasan media menjadi amalan pemerintahan ketika itu.
Laungan Reformasi muncul pada waktunya yang tepat.
DSAI adalah lambang
Jika perjuangan reformasi adalah tentang individu, saya tidak fikir parti yang meyakini nilai-nilai ini boleh bertahan lama dan mampu menghimpun pengikut dan keahlian yang ramai.
Jika ia hanya tentang DSAI sudah lama retorik ini akan tenggelam dengan tenggelamnya DSAI di persada politik negara.
Tribulasi kepada DSAI sememang tak terduga kerana pemenjaraan beliau sebanyak dua kali adalah ujian yang tidak tertanggung oleh sesiapa.
Kali pertama keluar penjara dan setelah tamat tempoh DSAI diterima di Permatang Pauh dengan majoriti yang memberangsangkan.
Pengundi terus mempercayai DSAI bukan semata atas batang tubuhnya tetapi gagasan lebih besar di belakang DSAI yang mewakili cita-cita mereka.
Rakyat mahu perubahan
Kemenangan awal Pakatan Rakyat dua kali PRU 2008 dan 2013 membuktikan suara untuk berubah kepada politik baharu secara demokrasi berpilihanraya mendapat sokongan dan dokongan sebahagian besar rakyat.
Hasrat sokongan adalah untuk melihat perubahan lebih konkrit secara struktural kepada institusi penting negara bukan kerana sokongan ke atas individu tertentu.
Semua calon PR dan PH disokong di atas komitmen mereka mahu membawa perubahan, sebab itu slogan Reformasi diselang-seli dengan slogan Ubah menterjemahkan hasrat PH.
Usaha politik dari PR dan kemudian PH pada tahun 2015 dipandu dan dipacu oleh cita-cita reformasi institusi negara dalam kehakiman, Parlimen, pilihan raya, pemerintahan, sosial dan ekonomi.
Asas tertegaknya cita-cita ini berpandukan kepada mempertahankan nilai demokrasi yang tertegak atas prinsip hukum, pemerintahan bertanggungjawab dan keadilan sosial.
Tiada kedengaran ahli Parlimen PR mahupun PH yang dipalingkan dari tuntutan ini kecuali beberapa orang yang hilang fokus kerana ketamakan diri dan mabuk kuasa.
PH lawan perasuah
Soal rasuah hanyalah fenomena kesan daripada semua asas di atas yang diabaikan oleh pemerintahan BN.
PH menyuarakan isu rasuah sebagai kesan yang boleh merosakkan seluruh institusi negara dan paling utama ialah kehakiman, penguatkuasaan dan pegawai-pegawai pentadbiran awam da sekali gus akan menjejaskan kepentingan dan kebajikan rakyat.
Cita-cita besar ini semakin diterima ramai kerana sepanjang perjuangan 'reformasi' dan 'ubah' tumpuannya adalah untuk membawa perubahan di atas tapak yang lebih meluas dan inklusif.
Buktinya, perjuangan PH merentasi kaum dan agama demi mempertahankan prinsip keadilan, prinsip undang-undang dan keadilan sosial yang merupakan pasak yang tertegaknya Demokrasi di negara ini.
Asas yang diperjuangkan PH ini umpama magnet menarik berbagai latar belakang dan kaum kerana mereka merasakan suara PH adalah suara mereka dan harapan mereka.
Sekali lagi ditegaskan, PH bukan tertegak atas individu tertentu tetapi hasrat menyeluruh untuk melaksanakan perubahan secara struktural dan tersusun dalam institusi negara.
Lawan kleptokrasi
Gelombang kebangkitan rakyat semakin terasa dengan skandal besar yang menggegarkan institusi negara dan manifestasi kepada gagalnya BN memelihara asas sebuah pemerintahan yang telus dan bertanggungjawab.
Skandal 1MDB, Tabung Haji dan peningkatan kebencian kaum dan agama semua ditolak oleh rakyat Malaysia dan dengan itu telah membawa PH ke persada kuasa pasca PRU 2018.
Sebagai rekod, setahun sebelum di ambang PRU 2018, Tun Mahathir telah membentuk satu gelombang 'Selamatkan Negara dari Kleptokrat' dan gelombang ini bersetuju untuk bergabung kekuatan dengan PH.
PPBM lahir dan bergabung dengan kekuatan tapak perjuangan yang telah terbentuk sejak awal tahun 2000.
Gabungan baru ini berjaya mendapat mandat rakyat untuk memerintah setelah sekian lama perjuangan Reformasi bertapak. Mandat rakyat kepada PH jelas untuk laksanakan beberapa perkara;
1. Memenuhi Manifesto PH sebaik mungkin,
2. Mengembalikan asas demokrasi negara,
3. Membuat perubahan institusi negara menangani korupsi,
4. Membentuk pemerintahan telus, terbuka dan bertanggungjawab,
5. Perubahan pada sistem pilihanraya yang lebih bebas dan telus
6. Memelihara semangat Perlembagaan dalam memelihara peruntukan utama seperti Institusi Melayu, Raja Melayu dan Islam sebagai agama persekutuan.
Kerajaan PH ada kejelasan
Selama 22 bulan itulah yang diusahakan oleh kerajaan PH yang cuba memenuhi mandat rakyat.
Tidak dinafikan ada kelemahan selama 22 bulan pemerintahan kerana hadirnya PH adalah untuk membuat perubahan dan bukan meneruskan apa yang sedia ada selama ini.
Selain itu merubah mentaliti memerlukan masa yang lebih lama.
Langkah PH ke hadapan dengan kejelasan ide perubahan untuk memelihara demokrasi, prinsip hukum serta keadilan sosial tiba-tiba disentak oleh kelompok yang sejak dari awal gagal memahami cita-cita ini.
Mereka yang dikuasai kepentingan diri berlindung atas nama 'Melayu' untuk berkuasa walaupun mengkhianati kawan yang bertungkus lumus memenangkan mereka.
Kerajaan tanpa DAP, DSAI dan Amanah hanyalah alasan tidak berasas mewajarkan nafsu ingin berkuasa mereka.
Politik sempit kembali aktif
Setelah sekian lama usaha perubahan struktural pemerintahan digerakkan tiba-tiba kita dikejutkan dengan suara-suara yang tidak ada kena mengena dengan hasrat dan cita-cita besar menyelamatkan demokrasi, prinsip hukum dan pemerintahan bertanggungjawab.
Suara politik sempit menghancurkan tapak luas yang PH bina selama ini apabila politik beridentitikan kaum yang mengharuskan kebencian kaum dan agama berjaya membentuk laluan kepada kerajaan PN hari ini.
Hari ini Malaysia diheret kembali kepada mainan individu siapa akan mengganti siapa? Rakyat diheret kepada permainan angka, cukup atau tidak kerusi?
Saya tidak nafikan individu tidak penting, bukankah seorang PM itu adalah individu? Saya juga tidak nafikan soal bilangan kerusi tidak relevan, saya sedar ianya sebahagian dari maksud demokrasi berparlimen.
Namun demikian bukankah keseluruhan Gagasan Besar Perubahan Struktural (Structural Change) melalui Reformasi secara Berinstitusi ( Instituitional Reform) itu adalah lebih utama diberi diberi perhatian dan didebatkan?
Cerita separuh masak
Apa guna kita bercakap tentang individu dan angka jika PH kembali tanpa ide dan gagasan besar ini diteruskan?
Rakyat dihidangkan dengan cerita separuh masak tentang Tun letak jawatan, Langkah Sheraton dan keputusan dari Istana serta Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) bentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Tiba-tiba sosial media dibanjiri naratif kerajaan tanpa DAP, Amanah dan DSAI. Tiba-tiba UMNO yang punca kebangkitan rakyat sejak era Reformasi kembali berkuasa dengan TSMY sebagai Trojan Horse.
Kita lupa sejarah lama usaha memartabatkan maruah negara, usaha mengembalikan arah kompas moral pemimpin yang hilang dan membela kebajikan rakyat yang menjadi mangsa rakus individu dan kelompok berkepentingan.
Kita lupa nilai demokrasi yang merupakan pilihan kita bersama. Kita lupa mara bahaya kepada negara apabila naratif politik beridentitikan perkauman membentuk kewujudan kerajaan PN hari ini.
Kita lupa bahawa doktrin agama sempit dan ketaksuban puak mendakwa mewakili agama kini menentukan polisi besar dalam dan luar negara. Kita lupa kepada usaha membawa pemimpin rasuah ke muka penghakiman agar rakyat mendapat keadilan.
PN goyah dan tanpa arah tuju
Angka dan individu akan senantiasa berligar dalam permainan politik namun kita harus mendidik rakyat supaya menjangkau angka dan individu kepada isi kandungan politik itu sendiri dan tertumpu kepada mengapa kuasa dan politik diperlukan.
Adakah ia untuk kuasa dan politik semata ataukah kuasa dan politik hanyalah wasilah kepada cerita lebih besar dari kita semua iaitu Keadilan, Kebertanggungjawaban dan Memelihara Kebajikan Rakyat.
Saya yakin mereka dalam PN tidak mewakili hasrat ini kerana mereka dihimpunkan atas kepentingan mengagihkan kedudukan (bedak ghanimah) dan ini jelas wawasan TSMY dalam merancang pembentukan kerajaan PN.
Fraksi Azmin dan fraksi PPBM telah lama merancang manakala UMNO dan Pas hanya menanti peluang untuk selamatkan diri masing-masing.
Apakah ini yang rakyat Malaysia mahukan? Sebuah kerajaan yang bertahan atas dasar 'satu untuk engkau, satu untuk aku' ataukah sebuah kerajaan yang mempertahankan prinsip demokrasi, prinsip hukum dan keadilan sosial?
Kita diikat dengan prinsip
Saya ingin tegaskan perjuangan besar tidak pernah berdiri atas individu walaupun individu menjadi pemangkin dan contoh ikutan.
Perjuangan kita untuk negara adalah atas kesedaran bahawa negara perlu dibina atas prinsip Demokrasi, Keadilan dan Kesejahteraan, sesiapa dari individu biar hebat dan besar namanya sekalipun mesti terikat dengan cita-cita ini.
Tiba masanya dalam keghairahan kita berbicara tentang angka dan individu kita kembali meletakkan pasak yang kuat dan bertanya apakah sebenarnya cita-cita dan perjuangan kita selama ini demi negara?
PN tidak syak lagi sebuah pemerintahan yang goyah tanpa wawasan dan sementara angka dan individu terus berligar, PH harus bergelut sekali lagi memenangkan cita-cita besarnya bersama rakyat Malaysia.
*Datuk Seri Dr Mujahid Yusof ialah Ahli Parlimen Parit Buntar dan juga Naib Presiden Parti Amanah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!