Najib, Ahmad Zahid bincang persediaan PRU15
SHAH ALAM - Pertemuan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan bekas presiden parti itu, Datuk Seri Najib Razak di rumah Ahmad Zahid malam tadi membuktikan hubungan kedua-dua pemimpin itu dalam keadaan baik.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa, Datuk Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, pertemuan tersebut secara tidak langsung juga menafikan spekulasi di luar sana yang mengatakan ada usaha untuk menjatuhkan Presiden UMNO.
“Ini adalah satu bukti bahawa kedua-dua pemimpin ini berjiwa besar (dan pertemuan itu) sekali gus menafikan apa yang diperkatakan di luar sana, ada usaha menjatuhkan presiden dan sebagainya namun hakikatnya UMNO tetap kukuh bersama.
“Mantan presiden dan Presiden UMNO adalah pemimpin berjiwa besar dan apa sahaja kepentingan individu ditolak ke tepi dan yang penting adalah parti, negara dan bangsa (serta) menyelamatkan negara daripada DAP,” katanya kepada Sinar Harian.
Nazir berkata demikian ketika ditanya mengenai pertemuan membabitkan dua pemimpin paling berpengaruh dalam parti itu di kediaman Ahmad Zahid malam tadi yang turut dihadiri olehnya berdasarkan gambar dimuat naik di Facebook Ahmad Zahid pagi ini.
Berdasarkan gambar yang dimuat naik juga, hadir sama selain Ketua Pemuda UMNO Bahagian Titiwangsa itu ialah Datuk Nazim Tun Razak dan Datuk Nizam Tun Razak yang juga merupakan adik kepada bekas Perdana Menteri itu.
Ahmad Zahid dalam catatan di media sosialnya susulan berakhirnya pertemuan dengan Najib turut menegaskan bahawa pucuk pimpinan parti itu kini dalam keadaan bersiap sedia sekiranya berlakunya Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15).
"Malam tadi menerima kunjungan Datuk Seri Najib dan rombongan ke rumah saya. Terima kasih. Kami sudah siap siaga untuk PRU15. Adakah anda semua sudah bersedia bersama kami?" katanya menerusi catatan di Facebooknya itu.
Sementara itu, Nazir ketika ditanya mengenai intipati perbincangan kedua-dua pemimpin terbabit berkata, kenyataan Presiden UMNO di Facebooknya itu sudah menjelaskan perkara utama yang dibincangkan iaitu mengenai PRU15.
Sebelum ini, Sinar Harian pada Isnin lalu melaporkan terdapat desas-desus kononnya ada desakan supaya bekas Presiden UMNO yang juga merupakan Ahli Parlimen Pekan itu dilantik sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN).
Difahamkan, usaha untuk melobi jawatan tersebut sedang dilakukan bagi membolehkan Najib mendapat kembali jawatan yang pernah dipegang beliau sebelum ini.
Percubaan tersebut bukanlah kali pertama kerana pada tahun lalu Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas mendedahkan Najib pernah meminta supaya dijadikan sebagai Pengerusi BN.
Bagaimanapun, pada ketika itu, Ahli Parlimen Pekan itu telah dilantik menjadi Pengerusi Lembaga Penasihat BN oleh Majlis Dewan Tertinggi BN dan Ahmad Zahid merupakan Pengerusi BN pada ketika ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!