PKPB: Tenaga kerja asing dihentikan, Nelayan tambat bot di jeti
KUANTAN - Nelayan, pengusaha bot dan peraih ikan di daerah ini memohon kerajaan mempertimbangkan pengambilan semula awak-awak warga asing dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Pengusaha, Zulkifli Mohammad, 55, berkata, ini kerana ramai di antara mereka menggunakan sehingga 80 peratus tenaga kerja warga Thailand dan Kemboja untuk kerja-kerja berat di jeti.
"Kita berharap anak tempatan yang selama ini tidak ramai bekerja dalam sektor ini berminat menyertainya," katanya.
Sementara itu, nelayan yang juga peraih ikan, Mohd Sharihan Mohd Zahit, 30, berkata, kekurangan tenaga kerja asing menyebabkan kapasiti bot yang boleh beroperasi sedikit dan terpaksa mengimport hasil dari negeri luar seperti Perak.
"Kalau dahulu bot yang boleh keluar tangkap ikan maksimum 40 atau 50 bot sehari. Sejak PKP cuma lima enam bot sahaja manakala pendapatan berkurangan dan saya terpaksa mengambil ikan dari Perak dan negeri lain untuk edaran.
"Hasil laut yang saya peroleh untuk diedarkan di seluruh Pantai Timur termasuk Singapura," katanya ketika ditemui di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kuantan di sini, hari ini.
Beliau juga berharap lebih ramai anak muda menyertai sektor berkenaan kerana dapat menjana pendapatan yang baik.
"Ada banyak sektor perikanan yang boleh dipelopori nelayan dan pengusaha tempatan. Bidang ini sangat luas apatah lagi idea anak muda sebenarnya lebih banyak idea bahkan mampu memperoleh RM5,000 sebulan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!