Trafik minta rasuah pas lawatan sosial tamat tempoh
KOTA BHARU - Seorang anggota trafik berpangkat koperal ditahan selepas dipercayai meminta dan menerima wang rasuah RM1,000 sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap wanita yang menggunakan pas lawatan sosial tamat tempoh.
Suspek berusia 40 tahun itu ditahan di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan pada jam 11 malam semalam.
Dia kemudian dibawa ke Mahkamah Kota Bharu hari ini dan dibenarkan direman selama lima hari bermula hari ini sehingga 7 Jun ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
Reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Kota Bharu, Nor Faezah Abdullah.
Menurut sumber, SPRM menerima aduan bahawa suspek menahan sepasang suami isteri dan mendapati pas lawatan sosial wanita berkenaan sudah tamat tempoh.
Suspek kemudian dipercayai meminta dan menerima wang rasuah itu sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan terhadap isteri lelaki tersebut.
“Penahanan kali ini merupakan kes yang kelima membabitkan pasukan polis di negeri ini sejak 23 Februari lalu.
Kesemua kes tersebut melibatkan seramai sembilan polis yang berpangkat koperal sehingga Asisten Superintendan.
“Pada 23 Februari lalu, SPRM menahan lima anggota polis di Kota Bharu kerana meminta rasuah berjumlah RM3,000 bagi melepaskan kes berkaitan dadah.
" Kemudian, pada April lalu pula seorang lagi anggota polis di Pasir Puteh ditahan kerana kesalahan meminta wang rasuah berjumlah RM4,000 bagi melepaskan suspek kes memiliki air ketum,” katanya.
Katanya, kes ketiga pula, pada awal Mei lalu, seorang anggota di Pasir Mas turut ditahan SPRM kerana menerima wang rasuah RM100 daripada seorang individu yang menggunakan cukai jalan yang dipercayai palsu.
“Seterusnya pada 1 Jun lalu, seorang pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan ditahan bagi membantu siasatan dakwaan meminta rasuah sebanyak RM30,000 daripada seorang individu bagi menyelesaikan kes samun.
“Terbaharu, kes kelima iaitu melibatkan penahanan anggota trafik ini semalam,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kelantan, Rosli Husain ketika dihubungi mengesahkan mengenai tangkapan-tangkapan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!