Negeri Sembilan hanya terima permohonan lesen perbaharui arak
SEREMBAN - Negeri Sembilan setakat hari ini hanya menerima permohonan untuk memperbaharui lesen perniagaan penjualan arak sahaja.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, buat masa ini kerajaan negeri belum menerima permohonan baharu sebaliknya mereka yang ingin memperbaharui lesen sahaja akan dibenar untuk membuat permohonan.
"Di Negeri Sembilan kita tidak mempunyai isu yang melibatkan pemberian lesen penjualan minuman keras, semuanya terkawal.
"Setakat ini, kita hanya menerima mereka yang ingin memperbaharui lesen penjualan arak sahaja, belum ada lagi permohonan baharu, kalau ada pun syarat yang kita tetapkan sangat-sangat ketat," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri dekat sini hari ini.
Aminuddin berkata, kerajaan negeri akan mendapatkan nasihat dan pandangan daripada Lembaga Pelesenan Eksais yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kastam sebelum memproses sebarang permohonan penjualan minuman keras di negeri ini.
"Bagi mengeluarkan lesen ini bukannya mudah, mereka perlu memenuhi kriteria dan syarat yang sangat ketat, mereka yang mahu memperbaharui juga perlu ikut prosedur operasi standard (SOP) ketat," katanya.
Terdahulu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersedia untuk menimbang cadangan mengkaji semula undang-undang membabitkan penjualan arak berikutan semakin banyak kemalangan jalan raya membabitkan pemandu mabuk sejak kebelakangan ini.
Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, sebarang keputusan berkaitan undang-undang berhubung penjualan arak perlu dibuat secara teliti kerana ia membabitkan jangka panjang dan tidak boleh dilakukan secara ad hoc.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!