Sultan Nazrin rasmi Galeri Warisan 22 Hale Street
IPOH - Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Shah Sultan Azlan Shah berkenan berangkat menyempurnakan Perasmian Galeri Warisan 22 Hale Street, Jalan Tun Sambanthan, di sini, hari ini.
Turut berangkat bersama pada majlis itu, Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Mengiringi baginda berdua, Ahli Jemaah Pemangku Raja Perak, Jeneral (B) Tan Sri Mohd Zahidi Zainuddin; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Setiausaha Kerajaan Negeri, Zainal Azman Abu Seman; Exco Kerajaan Perak dan tetamu jemputan lain.
Majlis dimulai dengan persembahan kebudayaan oleh Kumpulan Selendang Perak dan diikuti sembah ucapan Pengasas Galeri Warisan 22 Hale Street, Datuk Sandra Lee.
Kemudian Ahmad Faizal menyampaikan sembah ucapan sebelum persembahan montaj penyempurnaan gimik perasmian oleh Sultan Nazrin termasuk menandatangani plak perasmian.
Usai perasmian, baginda berdua turut berkenan melawat galeri tersebut dan meluangkan masa bersama rakyat di kawasan itu.
Galeri Warisan 22 Hale Street adalah galeri sejarah yang menempatkan warisan sejarah pekan Ipoh yang dahulunya menjadi pusat perlombongan terbesar di negara ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!