Musa Hassan Ahli Lembaga Pengarah USIM baharu

Musa Hassan
Musa Hassan
A
A
A

SEREMBAN - Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) yang baharu bagi tempoh tiga tahun berkuatkuasa 15 Mei lepas.

Pusat Komunikasi Strategik (StraComm) USIM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pelantikan Musa telah dipersetujui Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad.

“Beliau yang berkhidmat sebagai Ketua Polis Negara Kelapan pada 12 November 2006 hingga 12 September 2010 telah dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah USIM selaras dengan Seksyen 17(1)(f) Perlembagaan USIM (Wakil Berpengetahuan dan Berpengalaman),” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menyebut pengurusan universiti berbesar hati dengan pelantikan Musa dan percaya pengalaman yang dimilikinya mampu memberi sumbangan yang signifikan dalam membawa USIM ke arah pencapaian kemajuan akademik dan organisasi yang lebih cemerlang.

“Ini terutamanya dalam menjayakan Misi USIM 2022 untuk menjadi Universiti Sains Islam Glokal Berimpak Tinggi. Ia sekali gus turut memenuhi hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan serantau dan antarabangsa,” jelas kenyataan itu.

Musa yang juga Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Perang saraf dan Media Informasi (CMIWS) Universiti Teknologi Mara (UiTM) pernah memegang pelbagai jawatan lain di dalam pasukan polis antaranya Penolong Pengarah Pendakwaan/Undang-undang, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman (1995), Timbalan Pengarah I JSJ Bukit Aman (2001), Ketua Polis Johor (2003), Pengarah JSJ Bukit Aman (2004); dan Timbalan Ketua Polis Negara (2005).

Beliau juga pernah menyandang jawatan Timbalan Pengerusi, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia, Penaung, Badan Bertindak Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch) dan Pengerusi, Komuniti Prihatin Jenayah Malaysia (MCCC). - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!