Kuala Langat jadi PKP secara pentadbiran terbesar di Malaysia
Pelaksanaan PKP secara pentadbiran itu bermula semalam (2 Jun) hingga 16 Jun berikutan seramai 20 pekerja pembersihan warga asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) positif Covid-19 pada 28 Mei lalu.
Pegawai Daerah Kuala Langat, Mohd Jusni Hashim berkata, kawasan seluas 42.8 hektar membabitkan 1,752 rumah dengan anggaran 9,000 penduduk.
"Kawasan berkenaan dibahagikan kepada tiga zon iaitu A (480 unit kediaman), B (778 unit kediaman) dan C (494 unit kediaman).
"Keseluruhan kawasan yang terlibat dihuni 70 peratus rakyat tempatan dan 30 peratus warga asing," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Mohd Jusni berkata, melalui pelaksanaan PKP ini, warga tempatan yang belum disaring dibenarkan keluar masuk tetapi maklumat mereka direkodkan manakala yang telah disaring diperintahkan untuk kuarantin di rumah selama 14 hari.
Katanya, bagi warga asing pula, mereka tidak dibenarkan keluar daripada kawasan itu..
Tambah Mohd Jusni, setakat 29 Mei lalu, 114 warga Bangladesh telah dikenal pasti mempunyai kontak rapat dengan pesakit.
"Saringan ke atas penduduk sejak 30 Mei lalu sehingga setakat semalam (2 Jun), sebanyak 2,250 sampel telah diambil melibatkan 1,499 warga tempatan dan 751 warga asing.
"Saringan dan pengambilan sampel daripada keseluruhan penduduk dijangka dapat diselesaikan pada Jumaat ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!