PPM tumpas aktiviti seludup minyak masak, teh

Minyak masak cuba dibawa keluar dari Malaysia ke Thailand manakala teh timbang pula dibawa masuk dari Thailand ke Malaysia secara sedikit demi sedikit berikutan PKPB.
Minyak masak cuba dibawa keluar dari Malaysia ke Thailand manakala teh timbang pula dibawa masuk dari Thailand ke Malaysia secara sedikit demi sedikit berikutan PKPB.
A
A
A

TUMPAT - Minyak masak cuba diseludup keluar manakala teh timbang pula diseludup masuk.

Kegiatan di Pangkalan Haram Kodi, Nibong, Tumpat itu bagaimanapun berjaya dikesan sepasukan anggota dan pegawai dari Unit Risikan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor di sini tengah malam tadi.

Komander PPM Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said berkata, bertindak atas maklumat dan risikan pihaknya menyerbu sebuah premis yang dijadikan sebagai stor transit penyimpanan dua barangan bernilai RM22,940 terbabit pada jam 12.30 tengah malam.

“Hasil pemeriksaan menemui pek minyak masak berjumlah 2,992 kilogram (kg) bernilai RM7,480 yang dipercayai cuba untuk diseludup keluar ke Thailand.

“Pemeriksaan juga menemui 67 kotak dan 10 guni teh timbang bernilai RM15,460 di dalam stor sama yang dipercayai diseludup masuk dari Thailand ke negara ini,” katanya pada sidang media di Markas Operasi PPM Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor di sini hari ini.

Norzaid (tengah) bersama barisan pegawai dan anggota dari PPM Wilayah Tiga Pengakalan Kubor Tumpat menunjukkan minyak masak dan teh yang diseludup dan diletakkan di sebuah stor yang dijadikan transit di Nibong, Tumpat.
Norzaid (tengah) bersama barisan pegawai dan anggota dari PPM Wilayah Tiga Pengakalan Kubor Tumpat menunjukkan minyak masak dan teh yang diseludup dan diletakkan di sebuah stor yang dijadikan transit di Nibong, Tumpat.

Beliau berkata, kedua-dua barangan itu dipercayai dibawa masuk dan keluar dari negara ini secara haram dengan menggunakan bot enjin galah melalui jalan air di Sungai Golok.

“Berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang berkuat kuasa menyebabkan penyeludup menggunakan modus operandi dengan membawa barangan itu dalam kuantiti yang kecil.

Artikel Berkaitan:

“Mereka menyeludup barang itu pada waktu malam bagi mengelak dicekup pihak berkuasa,” katanya.

Tambah beliau, minyak masak halal dari Malaysia mendapat permintaan tinggi di Thailand terutama di bahagian selatan tanah air itu manakala teh timbang negara itu pula ada permintaan daripada pengguna di negara ini.

“Laporan dibuat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan 2011.

“Barangan rampasan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kelantan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat bermula 18 Mac lalu sehingga hari ini sebanyak 23 kes rampasan direkodkan.

“Barangan rampasan termasuk beras, minyak masak, bahan api, daun ketum, tembakau, kain tudung dan pelbagai produk makanan tersebut bernilai RM442,769.

“PPM akan terus memperketatkan kawalan dan mengambil tindakan tegas berikutan masih ada individu yang cuba menjalankan aktiviti penyeludupan serta mengambil kesempatan atas peningkatan harga barangan seludup,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!