Najib tahu RM42 juta dana SRC dalam akaunnya: Pendakwaan
KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai pengetahuan mengenai lebih RM42 juta wang milik SRC International Sdn Bhd dalam akaunnya, demikian Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.
Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc, Datuk V Sithambaram berkata, sebenarnya Najib telah menggunakan wang tersebut untuk manfaatnya dan membelanjakannya untuk pelbagai tujuan termasuk RM2.3 juta untuk membeli-belah di Itali.
“Bukti yang dikemukakan di mahkamah bahawa dia membelanjakan wang itu, jelas menunjukkan sebenarnya dia mempunyai pengetahuan mengenai wang dalam tiga akaunnya.
“Wang itu masuk ke dalam akaunnya, kami perlu mengesan balik peristiwa yang menyebabkannya...sama ada Datuk Seri Najib semestinya mengetahuinya atau sengaja tidak mengendahkannya,” katanya semasa membalas hujahan pembelaan.
Hari ini merupakan hari ketiga penghujahan lisan di akhir kes pembelaan.
Beliau berkata, sepanjang keterangannya, tertuduh berpendirian bahawa dia tidak mengetahui kemasukan dana ke dalam akaun peribadinya kerana dia tidak menguruskan akaunnya,
“Apabila tertuduh diminta memberi alasan mengapa Ketua Setiausaha Sulitnya, Allahyarham Datuk Azlin Alias atau bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil tidak mungkin memberitahu dia bahawa RM27 juta dan RM5 juta telah masuk ke akaunnya pada 26 Disember 2014, dia tidak dapat memberi sebarang alasan dan sekadar berkata: ”Saya tidak tahu mengapa.”
“Ini bukan tertuduh yang biasa tetapi Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia. Oleh itu, usaha tertuduh untuk menunjukkan kurang pengetahuan mengenai akaun berjuta-juta itu adalah rekaan semata-mata dan perlu ditolak,” katanya.
Beliau berkata, Najib dalam keterangannya berkata, dia tidak mempunyai pengetahuan mengenai jumlah RM42 juta masuk ke akaunnya pada Disember 2014 dan Februari 2015 walaupun dia menyatakan Azlin menguruskan akaunnya bagi pihaknya.
”Mengapa Datuk Azlin tidak memberitahunya mengenai kehadiran RM42 juta dalam akaun tertuduh? Mengapa tertuduh tidak mengetahui tentang RM42 juta ini semasa dia membelanjakan wang yang sama?. tanya Sithambaram.
Beliau berkata, tertuduh mengakui RM10 juta bersamaan dengan RM49 juta yang dimasukkan ke dalam akaun 880, hanya tinggal baki sejumlah RM848,000 sebelum RM42 juta masuk ke akaunnya.
“Dalam kedua-dua kes itu, tertuduh tahu atau seharusnya mengetahui bahawa RM42 juta telah dikreditkan ke dalam akaunnya. Tanpa mengetahui kredit, bagaimana tertuduh membelanjakan RM42 juta?
“Tertuduh dalam pembelaannya berkata, dia tidak bertanggungjawab terhadap wang yang dikreditkan ke dalam akaunnya tetapi hanya bertanggungjawab membelanjakan wang tersebut seperti debit di akaunnya,” katanya.
Pendakwa Raya itu turut berkata. tertuduh meremehkan peranan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low dengan menyatakan Jho Low berurusan dengan Nik Faisal atau Datuk Azlin berhubung akaunnya.
“Sama ada Jho Low berurusan dengan tertuduh, Nik Faisal atau Datuk Azlin, ia jelas Jho Low mengendalikan akaun tertuduh dengan pengetahuan dan persetujuan tertuduh,” katanya.
Sithambaram menyifatkan tindakan Najib tidak pernah melihat penyata banknya selama lima tahun sebagai sesuatu yang menarik.
Beliau berkata Najib mengesahkan Nik Faisal menyimpan penyata banknya dengan pengetahuan Azlin.
Selanjutnya, pendakwa raya itu berkata peranan Jho Low adalah memastikan penyata bank bosnya (Najib) tetap dirahsiakan kerana setiap transaksi akan menunjukan pengetahuan tertuduh terhadap wang dalam akaunnya.
“Mengapa tertuduh tidak mahu mengambil alih penyata banknya terutama tiga akaun miliknya. Kedua-dua Nik Faisal dan Azlin mempunyai akses kepada penyata bank tersebut seperti disahkan oleh Datuk Seri (Najib)
“Tidak ada isu bahawa tertuduh dapat memperoleh penyata bank dari Nik Faisal atau dari bank pada bila-bila masa.
“Sebagai pemegang akaun, tertuduh berhak mendapatkan penyata bank. Penyata bank tidak dijarakkan daripada tertuduh tetapi tertuduh menjarakkan diri daripada penyata bank tersebut,” katanya.
Mengenai dakwaan tandatangan palsu dalam beberapa dokumen SRC ketika Najib memberi kenyataan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Sithambaran berkata, isu kesahihan tandatangan Najib hanya dibangkitkan semasa perbicaraan peringkat pembelaan tetapi tidak dicabar semasa kes pendakwaan.
Menurutnya, pihak pendakwaan merasakan ia tidak masuk akal bahawa tertuduh mengaku dia ragu dengan tandatangannya pada dokumen yang dipersoalkan hanya selepas dimaklumkan bahawa dokumen asal tidak dikemukakan semasa perbicaraan.
“Beban membukti tandatangan dipalsukan terletak pada pihak pembelaan kerana mereka yang membangkitkannya,” katanya.
Sithambaran seterusnya berhujah, pihak pendakwaan tidak perlu membuktikan dakwaan pemalsuan tandatangan terutama apabila tertuduh mengesahkan tandatangannya kepada pegawai penyiasat.
“Pihak pembelaan malah berkeras untuk membawa pakar dari Australia untuk memeriksa tandatangan yang didakwa dipalsukan tetapi tidak membawa pakar untuk membuktikannya.
Najib berdepan tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd yang terdiri daripada tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan berkaitan dana SRC.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Kumpulan Ambank, No 55, Jalan Raja Chulan di sini dan di Pejabat Perdana Menteri, Presinct 1, Putrajaya antara 17 Ogos 2011 dan 2 Mac 2015.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!