Penunjuk perasaan antirasisme langgar perintah berkurung
WASHINGTON - Penunjuk perasaan di seluruh Amerika Syarikat (AS) tidak mengendahkan arahan perintah berkurung yang dikuatkuasakan di puluhan bandar untuk meredakan protes ganas yang tercetus sejak lebih seminggu lalu.
Insiden pertempuran antara pihak berkuasa dan peserta protes yang membantah kematian George Floyd pada 25 Mei lalu masih berlarutan hingga ke malam dari New York ke Los Angeles.
Bagaimanapun, kejadian pecah masuk deretan kedai dan keganasan dilaporkan semakin berkurangan berbanding beberapa hari lalu ketika ketegangan memuncak.
Di New York, ratusan peserta protes didakwa enggan pulang ke rumah masing-masing selepas perintah berkurung berkuat kuasa pada jam 8 malam (waktu tempatan) malah mereka terus berarak secara aman sambil melaungkan slogan di laluan utama di Manhattan dan Brooklyn.
Beberapa jam selepas perintah berkurung itu dilaksanakan, Datuk Bandar Bill de Blasio memaklumkan situasi kembali tenang sehari selepas beberapa kedai mewah di Manhattan menjadi sasaran pecah masuk penunjuk perasaan.
Di Washington, ribuan peserta protes kembali membanjiri jalan utama dan berarak secara aman.
Beberapa jam selepas perintah berkurung berkuat kuasa pada jam 7 malam, penunjuk perasaan masih melaungkan slogan dan polis turut melepaskan gas pemedih mata ke arah kumpulan itu selepas tengah malam, namun situasi didakwa masih terkawal.
Dalam perkembangan lain, Pentagon dilaporkan telah mengerahkan kira-kira 1,600 anggota tentera ke Washington selepas situasi masih meruncing susulan protes ganas selama lima hari berturut-turut di bandar tersebut.
Pengumuman itu dibuat selepas Gabenor di Virginia, New York, Pennsylvania dan Delaware menolak permintaan Setiausaha Pertahanan, Mark Esper yang menawarkan penempatan Pengawal Negara untuk mengawal keselamatan di Washington. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!