Tangguh haji atau teruskan
BULAN Syawal merupakan bulan pertama bagi bulan-bulan haji. Pada tahun-tahun sebelum ini, mereka yang ditawarkan peluang mengerjakan haji mula sibuk membuat persiapan seusai hari raya.
Pada tahun 1441H ini, umat Islam di Malaysia masih belum mendapat kepastian sama ada berpeluang atau tidak untuk mengerjakan haji. Walau bagaimanapun, kepastian telah diperoleh oleh umat Islam di negara Singapura dan Indonesia.
Bagi mereka yang sudah menerima surat tawaran menunaikan haji, mungkin sehingga hari ini harapan mereka masih menggunung. Siapa yang tidak gembira untuk pergi ke suatu tempat yang ditunggu-tunggu sekian lama.
Tempat yang sangat istimewa bagi umat Islam untuk menunaikan Rukun Islam yang kelima. Semangat untuk menunaikan haji makin berkobar-kobar apabila mendengar pihak berkuasa Arab Saudi membuka Masjid al-Nabawi mulai 31 Mei 2020.
Seandainya pihak berkuasa Arab Saudi membuka ruang untuk pelaksanaan ibadat haji pada tahun ini, apa yang bermain dalam fikiran saya ialah manakah yang lebih baik antara menangguhkan haji atau meneruskannya?
Dalam diri saya sebenarnya lebih berat untuk mengatakan bahawa dalam situasi pandemik Covid-19 yang masih belum pulih sepenuhnya, adalah lebih baik haji pada tahun ini ditangguhkan kerana beberapa sebab.
Antaranya ialah risiko jangkitan Covid-19. Berdasarkan pengalaman semasa bertugas, ramai jemaah haji yang jatuh sakit apabila berada di sana terutama batuk walaupun pada musim bukan wabak.
Mungkin kerana ramai yang tidak biasa dengan cuaca di sana dan tidak tahu menyesuaikan diri dengan suasana di Makkah dan Madinah.
Jika semasa ketiadaan wabak pun ramai yang jatuh sakit, secara logiknya semasa wabak sedang melanda, jangkitan itu mungkin lebih mudah lagi jika tahap kesihatan mereka rendah walaupun semasa di Malaysia mereka sihat.
Jika jangkitan berlaku kepada jemaah haji, ini bermakna petugas haji dan mana-mana orang yang ada kontak langsung dengan jemaah haji tersebut amat berisiko tinggi juga.
Keadaan ini mungkin akan menyukarkan pihak Tabung Haji (TH) untuk menguruskan kes berkenaan. Dalam masa yang sama juga pihak TH perlu menguruskan jemaah haji yang lain juga sebagaimana rutin sebelumnya.
Dengan kata lain, beban tugas bertambah dengan kekangan bilangan petugas yang terhad.
Selain daripada itu, kos haji sudah tentu bertambah. Pertambahan kos memang suatu yang sudah pasti kerana dalam situasi wabak yang belum reda ini, banyak prosedur baharu yang mesti dipatuhi dan semuanya melibatkan kos.
Sebagai contoh, jika kapal terbang sebelum ini mampu memuatkan 500 penumpang, mungkin kali ini hanya separuh yang dibenarkan kerana perlu mematuhi penjarakan sosial.
Persoalannya, adakah pihak TH bersedia menanggung kenaikan kos haji yang berkali ganda dengan mengekalkan bayaran RM9,980 sahaja kepada jemaah haji muassasah sebagaimana yang ditawarkan sebelum ini?
Atau jika pihak TH memutuskan jemaah haji muassasah perlu membayar harga yang lebih tinggi, adakah mereka bersedia?
Cukuplah saya sebut dua perkara di atas sahaja untuk sama-sama kita fikir sama ada wajar atau tidak haji diteruskan pada tahun ini.
Akhir kalam, secara jujur saya ingin berpesan kepada bakal jemaah haji terutama yang sudah menerima surat tawaran, bersedialah dengan hati yang terbuka.
Sama ada dapat pergi menunaikan haji atau tidak pada tahun ini, reda sahajalah dengan apa jua takdir ALLAH. Insya-ALLAH segalanya ada hikmah. Wallahu a’lam.
* Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan Syariah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!