Sekarang musim orang mabuk pandu kereta
ADA seorang rakan bertanya, “Sekarang ini musim orang mabuk pandu keretakah?” Saya tidak mampu menjawab tetapi hanya tertawa. Persoalan itu mudah difahami. Maklumlah di Malaysia terlalu banyak musim.
Ada musim durian, musim buang anak, musim K-Pop, musim basikal lajak, musim artis berkahwin, musim artis bercerai dan sebagainya. Saya tidak tahu memandu dalam keadaan mabuk ini termasuk dalam musim yang banyak itu.
Musim ini sifatnya sementara. Maknanya sekejap-sekejap. Tapi kes kemalangan akibat pemandu maut ini sudah semakin menjadi-jadi. Kalau tidak ditangani secara bersepadu, ramai yang akan menjadi mangsa.
Ketika Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengumumkan tiada kematian akibat wabak koronavirus (Covid-19) di Malaysia dalam tempoh 10 hari, tetapi ada 5 kes kematian akibat pemandu mabuk dalam tempoh empat hari berturut-turut.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, lebih 822 pemandu mabuk sudah ditahan di seluruh negara bagi tempoh lima bulan pertama sejak Januari lalu.
Sebelum ini saya pernah menulis dalam ruangan ini agar mendesak kerajaan mengawal penjualan arak secara terbuka. Di negara ini, arak boleh dibeli dengan mudah di kedai-kedai serbaneka, kedai runcit dan kedai 24 jam. Penjualan arak yang tidak terkawal hanya mengundang bencana kepada orang awam.
Ironinya negara bukan Islam seperti Afrika Selatan dan Hong Kong mengenakan sekatan penjualan arak, mengapa negara kita tidak boleh mengambil tindakan sama?
Hukuman
Kelmarin Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengambil tindakan awal yang tegas dengan membekukan semua permohonan baharu lesen minuman keras di ibu negara berkuat kuasa serta-merta dan akan mengenakan tindakan ke atas mana-mana peniaga yang ingkar.
Pihak berkuasa tempatan yang lain bagaimana pula? Rakyat berharap negeri-negeri lain dapat mengambil langkah sama sementara menunggu undang-undang baharu berkaitan pemandu mabuk diputuskan oleh Kementerian Pengangkutan tidak lama lagi.
Anehnya, ada yang mengaitkan isu pemandu mabuk ini dengan hak untuk meminum arak. Seorang individu yang kontroversi telah membuat satu kenyataan yang sangat menyakitkan hati mengenai isu ini.
Katanya, jika mahu mengharamkan arak katanya, haramkan juga sekolah tahfiz. Apa kaitan sekolah tahfiz dengan arak atau pemandu mabuk? Arak memang diharamkan dalam Islam. Meminum minuman beralkohol adalah hak orang bukan Islam, tetapi orang yang mabuk tidak ada hak untuk memandu. Kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) menunjukkan kemungkinan nahas berlaku membabitkan pemandu mabuk adalah 13 kali ganda lebih tinggi.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin sendiri sudah mengarahkan Kementerian Pengangkutan merangka pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) supaya hukuman lebih berat dikenakan terhadap individu yang disabitkan dengan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.
Jangan lengahkan lagi. Ketatkan undang-undang dan hukuman ke atas pemandu mabuk adalah cara mengurangkan masalah tanpa mencetuskan polemik antara Islam dan bukan Islam. Hukuman kepada pemandu mabuk tidak harus dilihat sebagai ‘konflik antara Muslim dan Non Muslim’ tetapi untuk menjaga keselamatan rakyat. Kita juga jangan terperangkap dalam sentimen perkauman kerana tidak patut melibatkan kaum dalam isu ini.
Pemandu yang mabuk dan menyebabkan kematian perlu diberi hukuman sama seperti seorang pembunuh dan didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Sekiranya elemen Kanun Keseksaan dimasukkan dalam akta tersebut, tertuduh tidak dibenarkan ikat jamin.
Saya tertarik dengan cadangan yang dikemukakan seorang penyanyi, Ariz Ramli atau lebih dikenali sebagai Caprice. Katanya, kerajaan perlu buat kempen orang mabuk jangan memandu, tapi order Grab Car. Jadi, kedai dapat jual arak kepada bukan Islam, Grab Car juga dapat penumpang. Sama-sama untung. Orang awam selamat.
* Azmi Tarmizi ialah Pengarang Berita Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!