Tun M puji kerajaan percayai golongan profesional tangani Covid-19
KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memuji langkah kerajaan hari ini yang mempercayai golongan profesional untuk menguruskan dan melaksanakan usaha memerangi krisis kesihatan akibat pandemik Covid-19.
Beliau berkata, langkah itu dapat memastikan negara tidak akan berada dalam situasi lemah seperti yang dialami negara lain.
"Usaha mencari penawar virus itu penting untuk menangani pandemik tersebut dengan jayanya, namun ia akan mengambil tempoh yang lama untuk diuji, dengan dijangka sekurang-kurangnya 18 bulan sebelum berhasil menemui vaksin paling berkesan," katanya hari ini.
Dr Mahathir berkata demikian dalam wawancara bersama Creative Cloud Community menerusi YouTube dengan tajuk ‘How to Turn Crisis into Opportunity’ (Bagaimana Mengubah Krisis Menjadi Peluang).
Mengenai situasi ekonomi semasa, beliau berpendapat dunia akan berjaya menangani tekanan yang jauh lebih buruk daripada Kemelesetan Ekonomi Dunia pada 1929.
“Kemelesetan telah sedia wujud dan boleh bertambah buruk, kecuali kita tahu bagaimana untuk menguruskannya.
“Ia boleh menjadi lebih buruk kerana puncanya berada di luar kawalan kita, sehingga dunia dapat menyempurnakan vaksin untuk memerangi Covid-19,” katanya.
Mengenai kesan pandemik ke atas perniagaan terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS), beliau menyarankan perniagaan berusaha memahami jangkitan ini supaya mereka mengetahui perkara yang perlu dilakukan atau dielakkan.
Dr Mahathir berkata, untuk mengurangkan kerugian akibat wabak itu, usahawan harus mencari jalan atau penyelesaian lebih baik berbanding memilih untuk menutup perniagaan mereka, menerusi langkah memanfaatkan aset yang dimiliki dalam keadaan sekarang selain peluang penjualan dalam talian.
“Perniagaan dalam talian akan menjadi semakin popular pada masa akan datang walaupun wabak itu telah berakhir. Ia akan lebih diterima guna.
“Perniagaan baharu akan berasaskan pengangkutan, kesalinghubungan dan komunikasi yang baik. Inilah cara pemasaran baharu, bukan lagi menunggu pelanggan datang kepada kita,” katanya.
Justeru, beliau menggesa perniagaan supaya mempelajari teknologi seperti persidangan video selain berhati-hati mencari peluang perniagaan di samping tidak boleh berhenti daripada memikirkan usaha penerokaan kaedah baharu untuk berubah dan menjadi kreatif.
Bekas Perdana Menteri itu turut menekankan bahawa masalah perniagaan kini bukan hanya terletak kepada pihak yang menjual malah pembeli.
“Sekiranya mereka yang membeli adalah terhad dan terkekang, pastinya pasaran tidak akan wujud. Kita seharusnya memahami kini orang tidak mempunyai wang terutama apabila yang miskin menjadi sangat miskin,” katanya.
Apabila rakyat tidak dapat bekerja untuk memperoleh wang, beliau berkata, kerajaan perlu membantu dari segi pemberian wang atau baucar untuk mereka membeli barangan keperluan supaya mempunyai makanan dan meneruskan hidup.
Mengenai masalah aliran tunai yang dihadapi perniagaan, beliau berkata, bank harus melonggarkan sedikit syarat pinjaman manakala kerajaan juga perlu membantu.
Dari segi pembuatan, pengeluar harus mencari kekuatan dengan memanfaatkan media untuk melakukan perkara lazim selain mencari perkara, idea atau produk baharu untuk memasarkan apa yang diperlukan sekarang, katanya.
“Pasaran amat luas dengan perniagaan dalam talian memberikan banyak peluang di luar sana. Tidak seharusnya terkekang dengan pasaran tempatan sahaja. Cari jalan untuk mendapatkan maklum balas daripada pelanggan anda,” katanya.
Terdapat juga perkara baharu seperti automasi dan robotik yang memerlukan kemahiran pengaturcaraan menerusi pembelajaran baharu.
Beliau berkata, memandangkan lebih banyak kilang menggunakan automasi untuk pengoperasian sudah pasti mereka memerlukan pengaturcara, justeru, mempelajari pengaturcaraan adalah sangat penting.
Mengenai golongan yang kehilangan pekerjaan, Dr Mahathir menasihati mereka yang merancang untuk membuka perniagaan supaya memiliki idea dan kemahiran yang baik berkaitan bidang yang ingin diceburi, jika sebaliknya, mereka akan menghadapi kesulitan.
“Ambil masa anda, susah sedikit, namun bangun secara perlahan-lahan. Apabila wujud cabaran, peluang juga pasti ada,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!