Hukuman lebih berat perlu dikenakan terhadap pemandu mabuk

David Marshall
David Marshall
A
A
A

BUTTERWORTH - Kerajaan perlu menggubal dan membuat pindaan undang-undang sedia ada berhubung hukuman terhadap pemandu mabuk yang dilihat lapuk serta tidak relevan pada ketika ini.

Ketua Pergerakan Anti Arak Murah Malaysia, David Marshall berkata, sehingga kini kerajaan masih lagi mengguna pakai Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) untuk pemandu mabuk yang menyebabkan kemalangan maut.

Menurutnya, tindakan melalui Kanun Tatacara Jenayah juga sepatutnya boleh digunakan malah tidak keterlaluan mereka yang terlibat boleh didakwa di bawah Seksyen 304 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian.

"Kami tidak setuju dengan hanya hukuman denda dengan wang ringgit sebaliknya perlu dipenjarakan maksimum seumur hidup jika terbukti seseorang itu didapati bersalah membunuh seseorang dalam kemalangan disebabkan pemandu mabuk.

"Hukuman yang lebih tegas perlu dikenakan agar ia menjadi pengajaran kepada orang lain sekaligus dapat mengurangkan kadar kemalangan maut disebabkan sikap tidak bertanggungjawab pemandu mabuk," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Mengulas lanjut, David berkata, kerajaan juga perlu menyelesaikan beberapa isu lain yang berkait dengan pengambilan arak secara holistik bukan sahaja atas faktor keselamatan pengguna jalan raya malah kesihatan awam dan masalah sosial yang berlaku.

Katanya, kerajaan perlu batalkan semua jenis lesen Arak Runcit di bawah Akta Eksais 1976 dan wujudkan lesen khas yang hanya boleh jual arak dalam premis yang dilesenkan.

"Kerajaan harus batalkan semua lesen arak runcit sedia ada yang dikeluarkan sebelum ini dan jangan benarkan penjualan sebarang jenis arak dan minuman keras di kedai-kedai runcit termasuk kedai serbaneka 24 jam.

Artikel Berkaitan:

"Langkah ini dapat mengawal daripada orang ramai terutamanya golongan belia terjebak dengan pengambilan arak di usia muda kerana ketika ini ia terlalu mudah untuk mereka dapatkan di pasaran," katanya.

Beliau berkata, pelbagai masalah yang timbul berpunca daripada arak termasuk pergaduhan di tempat awan, kematian di usia muda akibat kerosakan organ dalaman malah berlaku peningkatan kes penceraian melibatkan mereka yang terjebak dengan ketagihan arak.

Katanya, dengan undang-undang sedia ada yang amat lemah tidak dapat hentikan seseorang untuk meneruskan tabiat buruk mereka sehingga membahayakan nyawa orang lain.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!