KPKT disaran kenakan syarat tambahan pada premis hiburan
IPOH - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) disarankan untuk mengenakan syarat tambahan kepada pemegang lesen premis hiburan yang menyediakan minuman keras sebagai pencegahan awal membendung pemandu mabuk.
Aktivis Masyarakat Gopeng, Datuk Musa Nordin berkata, syarat tersebut memerlukan pemilik premis memastikan pelanggannya menjalankan ujian kandungan alkohol sebelum meninggalkan premis.
"Syarat ini perlu jika pelanggannya menunjukkan kandungan melebihi 80 miligram alkohol, pemilik boleh menahan pelanggannya dari memandu kenderaan.
"Di luar negara seperti Melbourne dan London, setiap premis mempunyai kaedah tersendiri untuk mengawal pemandu mabuk dan kaedah itu boleh diguna pakai di negara ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Menurutnya, pelaksanaan pencegahan awal dapat membendung 30 hingga 50 peratus kes kemalangan melibat pemandu mabuk itu.
Menurutnya, beliau juga bersetuju dengan tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membekukan permohonan baharu lesen minuman keras serta-merta.
"Pada masa sama, pihak berkuasa tempatan (PBT) patut menyemak semula lesen-lesen yang telah dikeluarkan.
"Bagi mereka yang terlibat dalam parti persendirian atau majlis keraian pula, ia melibatkan penguatkuasaan Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.
Katanya, pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan memaksimumkan penalti hukuman ada pro dan kontranya yang pada akhirnya akan beri implikasi kepada masyarakat itu sendiri.
"Undang-undang dilaksanakan untuk melindungi kepentingan awam dan pastikan keselamatan kita semua," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!