'Abang Chik beria-ia cakap nak pulang'

Allahyarham Mohd Syariz
Allahyarham Mohd Syariz
A
A
A

KOTA BHARU - Hasrat seorang pekerja syarikat penghantar makanan, Mohd Syariz Mahdi, 22, yang teruja membuat kejutan sempena Aidilfitri bertukar tragedi dan kepulangannya ke kampung membawa berita duka kepada keluarganya.

Berkongsi cerita duka itu, kakaknya, Fatin Syaza Mahdi, 29, berkata, beberapa hari sebelum itu adiknya itu menghubungi dan memberitahu dia akan berusaha pulang beraya bersama keluarga di Kelantan tahun ini.

Menurutnya, kematian adiknya yang terlibat dalam kemalangan kecil di Puchong, Selangor pada malam Jumaat itu diketahuinya keesokan hari selepas dimaklumkan rakan sekampung apabila kejadian itu tular di media sosial.

Sebelum itu, netizen menjejak ahli keluarga seorang lelaki yang terlibat dalam kemalangan selepas motosikal yang ditunggang terbabas lalu memasuki longkang besar dan mati lemas di Puchong.

Pada mulanya, Fatin Syaza berkata, dia sangat berharap berita itu tidak melibatkan keluarganya tetapi tragedi itu sahih selepas meneliti alamat dan nama pada kad pengenalan yang ditularkan melalui Facebook dan WhatsApp.

“Mohd Syariz membahasakan diri sebagai Abang Chik bersungguh-sungguh memberitahu akan pulang beraya di kampung kali ini walau dengan apa sekali pun. Dia minta saya merahsiakan daripada abah dan mama kerana mahu membuat kejutan.

“Betullah Abang Chik buat kejutan, dia tunai janji balik pada hari raya, tetapi kami reda walaupun yang pulang hanya jenazahnya,” katanya kepada Sinar Harian ditemui di rumahnya di Melor semalam.

Artikel Berkaitan:

Ahli keluarga melihat gambar Allahyarham Mohd Syariz dan reda dengan pemergian arwah yang disifatkan sebagai seorang anak yang baik.
Ahli keluarga melihat gambar Allahyarham Mohd Syariz dan reda dengan pemergian arwah yang disifatkan sebagai seorang anak yang baik.

Terdahulu keluarga tersebut menerima kunjungan Ketua Pemuda UMNO Ketereh, Saipuddin Mohamad.

Kakak sulong kepada Allahyarham itu berkata, 22 Mei lalu merupakan ulang tahun kelahiran adiknya yang ke-22 tahun dan arwah ada menghubungi ahli keluarga untuk meminta maaf.

Sementara itu, ibu Allahyarham, Wan Aniza Wan Yusof, 49, berkata, dia masih mengingati tangisan anak ketiganya itu yang bersungguh-sungguh meminta maaf.

“Saya tidak menyangka itulah permintaan maaf kali terakhir daripada Abang Chik. Sebagai ibu saya memang sentiasa memaafkannya. Mohd Syariz anak yang baik dan ramai yang menyayanginya,” katanya.

Katanya, kali terakhir dia berjumpa dengan anaknya itu pada Januari lalu sebelum pulang ke Puchong.

“Mewakili keluarga, saya mahu mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada pihak yang tularkan kejadian menimpa anak saya dan juga saudara- mara menguruskan jenazah,” katanya.

Jenazah Mohd Syariz selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kecil, Melor pada Sabtu lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!