Harga adil, kualiti ikan terjamin
KUANTAN - Pemusatan aktiviti pendaratan ikan membolehkan sistem pemasaran ikan terbuka dilaksanakan dengan berkesan untuk memastikan amalan pemasaran yang baik.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, kerajaan juga menjamin harga yang adil kepada nelayan dan kualiti ikan terjamin untuk pengguna pada harga yang berpatutan.
Menurutnya, Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyediakan kemudahan tempat pendaratan, urus niaga, pemetian ikan secara berpusat dan setempat.
“Kompleks LKIM membantu mewujudkan peluang perniagaan untuk pasaran yang lebih kompetitif dan menggalakkan perkembangan industri berkaitan perikanan di kawasan sekitar,” katanya kepada pemberita selepas melawat Kompleks LKIM Kuantan dan menyantuni hampir 1,200 nelayan, peniaga dan pengusaha di sini semalam.
Beliau yang tiba pada jam 8.30 pagi turut meninjau fasiliti kompleks di bawah penguru-san Persatuan Nelayan Negeri Pahang (PENERPA).
Ahmad berkata, pertumbuhan ekonomi setempat membawa peluang kepada persatuan pelayan setempat, yayasan nelayan dan syarikat tempatan menjalankan aktiviti seperti perniagaan air batu, diesel, membina serta membaik pulih bot dan operasi pemasaran ikan.
Sementara itu, pengusaha bot, Mohd Shukri Mohd Zahit, 37, berkata, pembinaan kompleks melibatkan kos keseluruhan lebih RM50 juta itu sememangnya memberikan manfaat dan keselesaan kepada pengguna.
“Dari segi kemudahan, ia sentiasa ditambah baik dari masa ke masa. Kita selesa dengan kemudahan disediakan di sini,” katanya.
Seorang nelayan, Mohd Sharihan Mohd Zaid, 30, pula berkata, beliau menghargai usaha kerajaan membantu mereka dalam sektor perikanan terutama dari segi fasiliti dan bantuan semasa negara sedang berdepan pandemik koronavirus (Covid-19).
“Cuma saya ingin meminta kerajaan memperhebatkan lagi galakan supaya anak muda menceburi bidang ini. Ramai anak muda tempatan fikir sektor ini tidak menjana ekonomi yang tinggi tetapi tanggapan itu salah,” kata beliau.
Kurangkan kebergantungan cili import
Kementerian Pertanian dan Industri Makanan yakin dapat meningkatkan hasil tanaman cili negara, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada barangan import pada masa akan datang.
Ahmad berkata, perkara itu boleh dicapai menerusi penyertaan golongan belia dalam pelbagai sektor pertanian termasuk penanaman cili secara fertigasi.
Menurutnya, kaedah penanaman cili yang dilaksanakan golongan belia di Felda Panching Selatan di Kuantan, Pahang boleh dicontohi bagi menghasilkan lebih banyak makanan dalam negara.
“Ketika ini, Malaysia hanya berkeupayaan mengeluarkan cili sebanyak 38 peratus, selebihnya sebanyak 62 peratus terpaksa import dari luar negara dan harganya mahal.
“Jadi, dengan adanya pengeluaran cili secara besar-besaran di sini, ia dilihat amat bertepatan untuk kita memastikan bekalan barangan keperluan mencukupi tanpa bergantung sepenuhnya kepada import barangan,” katanya selepas walk-about bersama petani di Projek Fertigasi Cili Felda Panching Selatan di sini semalam
Ahmad berkata, tanggungjawab mengurangkan kebergantungan kepada barangan import itu dilihat berat, namun ia boleh dilakukan dengan memanfaatkan tanah terbiar seperti yang diusahakan golongan belia di Felda Panching Selatan.
Sehubungan itu, katanya, penyertaan belia dialu-alukan bagi memastikan sektor pertanian terus berkembang.
“Kementerian telah perkenalkan Agroprenuer bagi membolehkan golongan muda menceburi bidang pertanian dan pelbagai bantuan akan disalurkan kepada mereka,” katanya.
Permintaan madu kelulut memberangsangkan
Ahmad Hamzah turut meluangkan masa hampir dua jam melawat kebun madu kelulut di Kampung Permatang di sini semalam.
Beliau meninjau kawasan kebun ternakan kelulut dan berpeluang menyedut madu kelulut yang telah matang milik Wan Ahmad Shamsudin Abdul Rahman, 54.
Turut serta, Ahli Parlimen Paya Besar, Mohd Shahar Abdullah dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah.
Wan Ahmad Shamsuddin berkata, beliau mengusahakan ternakan kelulut itu lima tahun lalu menerusi dua sarang kelulut.
Kini, katanya, beliau memiliki hampir 100 sarang kelulut yang dibina atas tanah seluas setengah hektar.
“Permintaan madu kelulut amat memberangsangkan. Hampir 300 gram sehingga satu kilogram madu kelulut dapat dikutip dalam satu-satu masa.
“Alhamdulillah, saya dapat memenuhi permintaan pelanggan dari dalam dan luar Pahang,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!