Pas Johor sedia hadapi PRN
JOHOR BAHRU - Pas Johor sedia berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) sekiranya Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan pada bila-bila masa.
Pesuruhjayanya, Abdullah Husin berkata, pihaknya memandang serius perkara itu terutama titah Sultan Johor semalam yang memberi amaran berhubung pembubaran DUN jika perebutan kuasa terus berlaku di negeri ini.
"Pas Johor yakin bahawa titah Sultan Johor mengambil kira kepentingan rakyat yang perlu diberikan keutamaan berbanding kepentingan politik yang diperjuangkan sesetengah pihak di Johor," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menerusi titah Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang disiarkan dalam Facebook rasminya semalam, baginda sedia membubarkan DUN Johor sekiranya perebutan kuasa terus berlaku dalam kalangan wakil rakyat di negeri ini.
Sultan Johor turut melahirkan rasa amat kecewa dengan kemelut politik yang masih berlaku di negeri ini kerana ada pemimpin gila kuasa dan terus merebut jawatan demi kepentingan diri mereka.
ARTIKEL BERKAITAN: Sultan Johor sedia bubar DUN
Jangan pertikai kuasa Sultan Johor bubar DUN
Pada 30 Mei lalu, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub memberi gambaran Pakatan Harapan (PH) mungkin dapat merampas semula Putrajaya daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum Julai ini dan gelombang perubahan kemungkinan akan bermula di Johor.
Mengulas lanjut, Abdullah berkata, pada ketika ini pihaknya menzahirkan sokongan terhadap kerajaan PN.
Beliau berharap pentadbiran kerajaan negeri sedia ada berjalan baik dan lancar demi kemajuan serta kesejahteraan rakyat dapat diteruskan.
Pas Johor menyelar Pakatan Harapan (PH) Johor yang bertindak seakan-akan mencabar Sultan Johor apabila mengeluarkan kenyataan yang seakan bertentangan dengan titah baginda semalam.
Menurutnya, tindakan tersebut tidak sewajarnya berlaku dan sepatutnya PH Johor akur serta menghormati titah Sultan Johor.
Semalam, PH Johor dalam satu kenyataan bersama melibatkan Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi Keadilan Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong menyatakan mandat rakyat Johor perlu dikembalikan.
Menurut mereka, PH Johor konsisten dengan pendirian itu kerana rakyat sudah menterjemahkan sokongan mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 dan justeru, mandat mesti dikembalikan mengikut perundangan serta perkara tersebut termaktub dalam Perlembagaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Faham, patuh titah Sultan Johor
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!