'Guard' ditahan memandu ketika mabuk
NILAI - Seorang pengawal keselamatan ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Ops Mabuk yang diadakan Jalan Persiaran Utama dekat sini semalam.
Operasi dilakukan oleh dua pegawai bersama enam anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Nilai (BSPTD) yang diketuai oleh Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Nilai, Asisten Superintendan Mohd Hafidzal Zainal Abidin.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Noor Marzukee Besar berkata, dalam operasi itu pihaknya telah membuat pemeriksaan dan melakukan ujian pernafasan terhadap dua pemandu yang disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol namun hanya seorang sahaja ditahan.
"Anggota BSPTD Nilai telah membuat pemeriksaan ke atas sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang dipandu seorang lelaki berusia 39 tahun dalam keadaan mencurigakan dan ujian nafas menggunakan alat SD2+ ke atas pemandu tersebut menunjukkan dia memandu dalam keadaan dipengaruhi alkohol.
"Hasil ujian nafas yang telah dijalankan dapati bacaan alkohol dalam nafas melebihi kadar yang dibenarkan. Lelaki itu kemudiannya dibawa ke Balai Trafik Nilai untuk ujian selanjutnya menggunakan alat EBA," katanya.
Katanya, hasil ujian lanjut dapati bacaan alkohol dalam nafas adalah 138mg/100ml iaitu melebihi daripada paras yang ditetapkan.
"Suspek ditahan di bawah Seksyen 45A(1) APJ 1987 untuk tindakan lanjut," katanya.
Mohd Noor Marzukee berkata, dalam operasi tersebut pihaknya telah mengeluarkan 24 saman atas pelbagai kesalahan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!