Kes 1MDB Najib hari ini ditangguh, sambung 29 Jun

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dijadualkan disambung di Mahkamah Tinggi hari ini.

Kes itu dilapangkan bagi memberi laluan kes SRC International Sdn Bhd yang turut dihadapi bekas perdana menteri itu.

Penangguhan itu susulan permohonan peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah supaya mahkamah melapangkan perbicaraan kes berkenaan setelah pasukan pembelaan masih belum selesai mengemukakan hujah lisan dalam kes SRC International.

"Mengenai penghujahan dalam kes SRC International, hari ini kami (pembelaan) akan meneruskannya dan berharap akan berlangsung sepanjang hari.

"Oleh itu, kami dengan hormat meminta supaya perbicaraan kes 1MDB ini dilapangkan,” katanya kepada Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 29 Jun ini bagi mendengar kes 1MDB itu.

Pendakwaan diwakili Datuk Seri Gopal Sri Ram dan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib.

Apabila perbicaraan kes 1MDB itu disambung semula, Muhammad Shafee dijangka meneruskan pemeriksaan balas saksi pendakwaan kesembilan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

Artikel Berkaitan:

Najib, 67, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Di Mahkamah Tinggi yang lain, Najib dibicarakan atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan menyalahgunakan kedudukan dan tiga tuduhan pengubahan wang haram yang melibatkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Kes berkenaan kini di peringkat penghujahan lisan di akhir kes pembelaan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!