Tawar Bersatu masuk UMNO tak dibincangkan dalam MKT UMNO
SHAH ALAM - Dakwaan yang menyebut Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menawarkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyertai UMNO bagi mengukuhkan parti Melayu, tidak dibincangkan dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.
Ahli MKT UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata, dakwaan tersebut hanya persepsi dimainkan segelintir pihak yang ingin melihat keretakan Perikatan Nasional (PN) dengan mencipta isu bagi mewujudkan ketidakpuasan hati antara parti dalam PN.
Menurutnya, fokus utama ketika ini tertumpu terhadap usaha pengukuhan semua parti dalam PN untuk terus mentadbir negara terutama dari segi kebajikan dan memastikan kestabilan ekonomi dalam keadaan negara berdepan koronavirus (Covid-19).
"Tertarik saya hendak komen terhadap kenyataan pemimpin Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Muzzammil Ismail dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr Rais Hussin Mohamed Arif.
"Bagi saya, kedua mereka selaku kepimpinan tertinggi Bersatu boleh terus bertanya pada presiden parti mereka iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin tentang persoalan yang bermain di fikiran mereka," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, satu portal berita hari ini melaporkan bahawa Muzammil menyebut Ahmad Zahid pernah menawarkan Bersatu supaya kembali menyertai UMNO.
Bagaimanapun, kata Muzammil, Muhyiddin tidak akan bersetuju dengan cadangan itu, manakala Rais berkata, pemimpin Bersatu tidak pernah dimaklumkan mengenai perkara tersebut namun sekiranya benar, beliau menyifatkannya umpama 'sungai mula mengalir ke lautan'.
Mengulas lanjut, Armand Azha percaya, Ahmad Zahid seorang yang berjiwa besar dalam memikirkan arah tuju kestabilan politik negara.
"Beliau (Ahmad Zahid) konsisten dalam pendirian beliau dalam pengukuhan parti UMNO, Barisan Nasional (BN) malah Muafakat Nasional (MN) demi kesejahteraan rakyat Malaysia.
"Marilah kita sama-sama membina dan kembali hebatkan Malaysia sebagai sebuah kerajaan bersama iaitu PN," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!