Skype penghubung normal baharu banduan, keluarga
KOTA BHARU - Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak memutuskan hubungan antara banduan dan keluarga memandangkan mereka disediakan satu aplikasi penghubung dalam talian untuk normal baharu kali ini iaitu Skype untuk bertanya khabar antara satu sama lain.
Pengarah Penjara Kelantan, Penolong Kanan Komisioner Mat Yaacob berkata, pihaknya menggunakan aplikasi tersebut sejak bermulanya PKP iaitu pertengahan Mac lalu dan ia digunakan sebaik mungkin oleh semua banduan yang terlibat.
“Ia merupakan normal baharu di penjara bagi menggantikan perjumpaan yang biasanya kita buat di penjara itu sendiri.
"Bagi memastikan kita patuh pada prosedur operasi standard (SOP) dalam tempoh penularan Covid-19, maka cara itu dilihat berkesan dan terbaik untuk menghubungkan banduan dengan keluarga mereka,” katanya kepada pemberita di sini.
Terdahulu, Mat Yaacob ditemui di Penjara Pengkalan Chepa semasa melakukan tinjauan proses pertemuan dalam talian melibatkan banduan dan keluarga di Penjara Pengkalan Chepa hari ini.
Menurutnya, setiap banduan tetap diberikan masa selama 45 minit untuk setiap sesi Skype bersama keluarga dan ia bergantung pada tahap kualiti capaian internet yang digunakan kedua-dua pihak.
Beliau berkata, perjumpaan di alam maya ini tetap mempunyai cabarannya tersendiri terutamanya apabila pihak keluarga banduan tidak memiliki pautan atau peranti yang sesuai untuk digunakan.
Bagaimanapun katanya, pihak penjara tetap mempunyai inisiatif sampingan iaitu melalui panggilan telefon Myphone yang boleh menghubungkan banduan dengan keluarga mereka.
“Secara keseluruhannya kita sediakan 10 telefon untuk kaedah ini di seluruh negeri dan dua peranti untuk setiap blok. Bagi keluarga mereka yang mempunyai masalah talian internet dan sebagainya bolehlah guna cara ini.
“Kita harap dengan cara ini hubungan antara keluarga ini tidak putus dan dapatlah mengubat rindu keluarga terhadap banduan itu sendiri.
“Dalam masa yang sama, ia membantu memulihkan lagi semangat banduan untuk terus menjalani rawatan dan pemulihan di dalam penjara,” katanya.
Sementara itu, salah seorang banduan yang ditemui memberitahu, aplikasi Skype ini ternyata memberi satu kelainan dan memudahkan kedua-dua pihak untuk berhubung walaupun dalam tempoh PKP.
“Saya berada di penjara sejak tahun 2009 dan memang tidak biasa dengan teknologi canggih seperti ini. Alhamdulillah dengan adanya cara ini, saya dapat berhubung dengan ayah dan adik saya yang berada di Kuala Lumpur.
“Sebelum ini mereka perlu datang ke sini jumpa saya tapi kali ini jimat masa dan tenaga sebab guna aplikasi ini saja. Itupun perlukan capaian internet yang baik supaya setiap perbualan dapat didengari dengan jelas,” katanya.
Pemuda berusia 38 tahun itu menjalani hukuman atas kesalahan samun. Dia dihukum penjara sehingga 2027 dan telah lapan kali khatam al-Quran sejak menjadi penghuni di penjara Pengkalan Chepa.
Sementara itu, seorang lagi banduan memberitahu, walaupun kemasukannya ke dalam penjara adalah disebabkan fitnah namun dia akan cuba sedaya upaya untuk muhasabahkan diri demi keluarga di rumah.
“Memang sedihlah sebab tidak dapat beraya bersama keluarga. Tapi di sini pun kita ada keluarga juga, kita pun disediakan dengan ketupat, biskut raya dan sebagainya. Cuma suasana saja berlainan.
“Aplikasi Skype ini pun banyak membantu memudahkan lagi kami untuk berhubung. Terima kasih pihak penjara kerana memahami naluri kami sebagai ayah, anak dan sebagainya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!