Sorok mercun dalam pakaian bundle

Mercun dan bunga api yang dijumpi di atas sebuah lori dengan ditutupi muatan pakaian terpakai.
Mercun dan bunga api yang dijumpi di atas sebuah lori dengan ditutupi muatan pakaian terpakai.
A
A
A

KOTA BHARU - Agensi Kawalan Sempadan (Aksem) Kelantan membongkar aktiviti penyeludupan mercun dan bunga api bernilai hampir RM1juta yang disorokkan dalam timbunan pakaian bundle dalam tiga operasi kawalan dan pencegahan menjelang Perayaan Tahun Baru Cina.

No Image Caption

Operasi pertama dilakukan di tepi Jalan Kampung Paloh, Jalan Kuala Krai-Gua Musang pada jam 3 pagi, 31 Disember tahun lalu membabitkan rampasan mercun dan bunga api bersama lori bernilai RM435,500.

Kedua, pihak berkuasa itu turut merampas mercun dan bunga api bernilai RM59,400 di tepi Sungai Golok, Pengkalan Jambu, Pengkalan Kubor, pada jam 1 pagi, 18 Januari lalu.

Komander Aksem Kelantan, Rusli Karim berkata, operasi tertumpu kepada serbuan ketiga pada jam 10.30 malam, 18 Januari lalu apabila pihaknya mengesan modus operandi baharu oleh pihak sindiket yang cuba mengaburi mata pihak berkuasa menggunakan cara menyeludup bahan larangan itu dengan menyorokkannya dalam timbunan pakaian terpakai.

“Hasil risikan anggota dan pegawai serbuan mengekori sebuah lori tiga tan yang berada dalam keadaan mencurigakan dari Gua Musang sehingga ke Jalan Merapoh - Kuala Lipis, Pahang dan mengarahkan pemandu supaya berhenti.

“Sebaik anggota berjaya menyekat kenderaan itu, pemandu lelaki dan kelindannya melarikan diri ke dalam semak dengan enjin yang masih hidup. Hasil pemeriksaan menjumpai mercun dan bunga api keseluruhannya bernilai RM424,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Aksem negeri, Jalan Kuala Krai tadi.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!