Taska persendirian digesa daftar KPWKM, patuhi SOP
PUTRAJAYA - Taman Asuhan Kanak-Kanak (taska) dan pusat asuhan persendirian digesa berdaftar dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semasa membuat gesaan itu berkata kerajaan sedar terdapat taska swasta dan rumah-rumah persendirian yang mengambil upah mengasuh anak-anak tetapi tidak berdaftar dengan kerajaan.
Menurutnya, kerajaan bimbang kerana pengasuh anak-anak ini tidak mendapat sebarang latihan dan sekiranya terdapat kejadian yang tidak diingini berlaku, perkara itu adalah di luar tanggungjawab kerajaan.
"Saya menyeru kepada taska persendirian ini walaupun hanya menjaga tiga empat orang anak supaya berdaftar dengan KPWKM supaya latihan, bantuan dan dana dapat diberikan," katanya pada sidang media harian mengenai Pergerakan Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sini, hari ini.
Beliau berkata pengasuh, taska dan pusat asuhan juga digalak memuat turun Panduan Pencegahan Penularan Covid-19, Pasca Perintah Kawalan Pergerakan Bagi Keselamatan Warga Taman Asuhan Kanak-Kanak.
Beliau berkata panduan SOP itu boleh diperoleh melalui laman web KPWKM dan JKM.
Ismail Sabri menjelaskan agak sukar untuk kerajaan memantau pelaksanaan SOP di premis terlibat kerana mereka tidak berdaftar.
Bagaimanapun katanya, pengasuh masih perlu mengikut SOP tersebut demi menjaga kepentingan dan kesihatan anak-anak asuhan.
Menurutnya, setakat ini terdapat 7,901 taska yang berdaftar telah memohon untuk beroperasi meliputi tiga kategori iaitu taska institusi, taska awam dan taska di rumah.
Mengenai kekhuatiran berkenaan risiko jangkitan Covid-19 apabila ada ibu bapa terpaksa meninggalkan anak-anak mereka lebih lama di pusat asuhan kerana bekerja lebih masa, Ismail Sabri berkata perkara itu tidak perlu dibimbangkan selagi pihak taska mematuhi semua SOP.
Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata sekolah separa kerajaan dan persendirian tidak sepatutnya mengutip yuran selagi sesi persekolahan tidak dibuka ekoran pandemik Covid-19.
Beliau berkata, dari segi etika bayaran tidak perlu diminta sekiranya sesuatu perkhidmatan tidak diberikan.
“Saya harap sekolah-sekolah seperti ini tidak mengambil peluang untuk memaksa ibu bapa membayar yuran walaupun anak mereka tidak bersekolah. Selagi sekolah tidak dibuka, saya harap tiada sekolah yang mengutip yuran daripada pelajar-pelajar,” katanya.
Sementara itu, Ismail Sabri berkata, tindakan majikan yang mewajibkan pekerja mereka untuk kuarantin wajib selama 14 hari setelah pulang merentas negeri adalah salah kerana ia bertentangan dengan peraturan dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang hanya mewajibkan rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara untuk menjalani kuarantin.
Menurutnya, arahan kuarantin itu juga terpakai untuk rakyat yang pulang ke Sabah dan Sarawak dari Semenanjung.
“(Di Semenanjung) ada yang dapat kebenaran untuk rentas negeri dan mereka ini tidak diwajibkan untuk dikuarantin 14 hari. Adalah salah juga apabila majikan memaksa pekerja mengambil cuti tanpa gaji untuk dikuarantin selama 14 hari,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!