Jakarta longgarkan PSBB, bermula esok

Gabenor Jakarta, Anies Baswedan dalam sidang akhbar yang disiarkan menerusi YouTube rasmi pemerintah Jakarta, hari ini.
Gabenor Jakarta, Anies Baswedan dalam sidang akhbar yang disiarkan menerusi YouTube rasmi pemerintah Jakarta, hari ini.
A
A
A

JAKARTA - Pembatasan Sosial Berskala Besar (PSBB) di Wilayah Jakarta dilanjutkan sehingga akhir Jun ini namun beberapa aktiviti sosioekonomi akan dibenarkan kembali beroperasi menerusi penerapan normal dan protokol baharu bermula esok.

Gabenor Jakarta, Anies Baswedan berkata, PSBB akan menjalani proses transisi fasa pertama sehingga akhir Jun dengan beberapa sektor sosioekonomi antaranya pembukaan rumah-rumah ibadat, kembali bekerja di pejabat, pembukaan pusat-pusat perniagaan dan operasi sepenuhnya pengangkutan awam.

"Semua sektor itu harus menjalankan protokol baharu, penerapan normal baharu dan operasi semua sektor itu adalah tidak melebihi 50 peratus kapasitinya.

“Contoh rumah ibadat masjid, hanya separuh daripada kapasiti masjid, pejabat atau ruang atau bangunan, hanya separuh daripada kapasiti, begitu juga restoran, kedai makan dan melaksanakan jarak sosial satu meter dan memakai pelitup separuh muka," katanya dalam sidang akhbar yang disiarkan menerusi YouTube rasmi pemerintah Jakarta di www.youtube.com/dkijakarta hari ini.

Beliau berkata, pelaksanaan proses transisi fasa pertama PSBB itu adalah berdasarkan statistik kes positif dan kematian akibat wabak koronavirus (Covid-19) di Wilayah Jakarta yang menunjukkan trend penurunan sejak akhir Mei dan awal Jun ini.

"PSBB di Jakarta dikuat kuasa pada 15 Mac lepas sehingga hari ini dan dilanjutkan lagi sehingga akhir Jun sekiranya proses transisi fasa pertama ini berjaya, kita akan mulakan fasa kedua transisi bermula Julai ini dengan membenarkan lebih banyak sektor sosioekonomi beroperasi, jika sebaliknya proses transisi ini akan dibatalkan dan kembali kepada peraturan asal PSBB," katanya.

Sektor yang dibenarkan kembali beroperasi dalam fasa transisi itu, antaranya pembukaan rumah ibadat (bermula esok), kembali bekerja di pejabat dan pembukaan pusat-pusat perniagaan (bermula 8 Jun) pembukaan taman-taman rekreasi (bermula 21 Jun) dan operasi sepenuhnya perkhidmatan pengangkutan awam (bermula esok).

Sesi persekolahan dan pusat pengajian tinggi serta pusat-pusat hiburan masih tidak dibenarkan beroperasi. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!