Penunggang motosikal maut digilis lori


Polis melakukan siasatan di lokasi kejadian.
Polis melakukan siasatan di lokasi kejadian.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang penunggang motosikal maut digilis sebuah lori dalam kemalangan di Kilometer 147.5 Lebuh Raya Utara Selatan di sini pagi tadi.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, mangsa Nur Firdaus Wong Abdullah, 47, maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala selain kerosakan organ dalaman.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, mangsa yang datang dari arah Bukit Tengah menuju pulau dikatakan cuba mengelak lori yang berhenti di lorong kecemasan kerana mengalami tayar pancit.

Bagaimanapun menurutnya, motosikal mangsa dikatakan bergesel dengan sebuah lori dan menyebabkan dia terjatuh sebelum digilis kenderaan berat berkenaan.

"Mangsa mengalami cedera parah di kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Setakat ini kita masih lagi mengesan pemandu lori berkenaan dan minta kerjasama orang ramai yang melihat kejadian itu agar menyalurkan maklumat kepada mana-mana balai polis berhampiran," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Shafee berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat.

Katanya, siasatan lanjut mengenai kejadian berkenaan itu masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!