Pas tidak pinggir bukan Islam
KUALA TERENGGANU - Pelantikan seramai 18 pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dalam kalangan masyarakat Tionghoa membuktikan kerajaan negeri tidak meminggirkan masyarakat bukan Islam.
Exco Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, kerajaan negeri sentiasa memberi peluang kepada semua kaum untuk bersama-sama membangunkan negeri.
“Kerajaan negeri sentiasa memberi peluang kepada semua kaum untuk sama-sama terlibat dalam memimpin dan membangunkan negeri dan ia selaras hasrat menjadikan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera menjelang 2030,” katanya menerusi satu kenyataan, semalam.
Dalam pada itu, menurutnya, kesemua 18 pemimpin Tionghoa itu antara 1,044 pengerusi MPKK yang dilantik di seluruh negeri.
“Dun Bandar mendahului dengan sebanyak 14 MPKK dipimpin kaum Cina, dua di Dun Sura dan masing-masing satu bagi Dun Cukai dan Tepoh. Dasar perjuangan Islam yang dipraktikkan menjamin hak dan keadilan semua kaum.
“Negeri ini milik dan tanggungjawab kita bersama jadi kita perlu pelihara dan laksanakan amanah kepimpinan sebaiknya. Dengan Islam yang menjadi dasar perjuangan Pas, semua kaum dijamin hak dan keadilan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!