Kenapa had paras alkohol di Malaysia tidak ikut saranan WHO?

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

SHAH ALAM - Pakar keselamatan jalan raya mempersoalkan mengapa penetapan paras kepekatan alkohol bagi mengesan pemandu mabuk yang digunapakai Malaysia adalah pada tahap 80 miligram (mg) kandungan alkohol dalam 100 mililiter (ml) darah.

Ini kerana menurut Profesor Dr Kulanthayan KC Mani daripada Jabatan Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyarankan negara di dunia supaya menetapkan paras kepekatan alkohol lebih rendah iaitu pada tahap 50mg alkohol dalam 100ml darah.

Jadi katanya, adalah wajar kerajaan mengambil pendekatan menyahut seruan WHO yang melihat kandungan alkohol melebihi 50mg sudah mendatangkan bahaya kepada pemanduan.

“Malaysia menggunakan had 80mg alkohol dalam 100ml darah tetapi WHO sarankan 50mg alkohol dalam 100 ml darah. Tak perlu tunggu 80mg...50mg, 60mg dan 70mg pun sudah bahaya. Cuba bayangkan kalau kita ikut saranan WHO, bermaksud akan lebih ramai orang kena tangkap dan lagi ramai orang kita dapat selamatkan.

“Saya tidak tahu mengapa kita meletakkan tahap sedemikian. Mungkin waktu dahulu penggunaannya tidak sehebat hari ini. Jadi apa salahnya kita pertimbangkan untuk bergerak kepada saranan WHO dan kita lihat masalah itu selesai atau tidak,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Isnin lalu Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) akan diteliti semula, supaya mereka yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan pengguna jalan raya lain, dikenakan hukuman lebih berat.

Polis memeriksa pemandu yang disyaki di bawah pengaruh alkohol dalam Ops Mabuk.
Polis memeriksa pemandu yang disyaki di bawah pengaruh alkohol dalam Ops Mabuk.

Ketika ini, Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan, berkaitan memandu di bawah pengaruh minuman yang memabukkan atau dadah dan menyebabkan kematian atau kecederaan kepada mana-mana orang, memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih 10 tahun serta denda tidak kurang RM8,000 dan tidak lebih RM20,000.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Kulanthayan turut mempersoalkan adakah undang-undang sedia ada digunakan secara optimum dalam usaha kerajaan membanteras pemanduan di bawah alkohol.

Jika tidak tegasnya, undang-undang sedia ada perlu digunakan secara maksimum terhadap pesalah sementara menunggu kerajaan meminda akta sedia ada.

“Bagi saya, kita patut kaji perundangan dengan syarat perundangan sedia ada, kita guna secara maksimum. Kalau kita sudah tahan beribu orang dengan hukuman yang maksimum, tetapi kes masih berulang, ia bermaksud undang-undang sedia ada tidak kuat.

“Proses pinda ini pula akan ambil masa. Kita nak tunggu sampai undang-undang itu siap? Jadi, apa kata buat masa ini kita optimumkan peraturan sedia ada dahulu,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!